PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

Sebanyak RM122.7 bilion disalur melalui pelbagai inisiatif dan bayaran one-off di bawah Pakej Prihatin - Tengku Zafrul

07/10/2020 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt  --  Sebanyak RM122.7 bilion di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) telah disalurkan sehingga 25 September, 2020,  bagi menangani kesan daripada penularan pandemik COVID-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata tahap pencapaian pelaksanaan pakej itu melibatkan pemberian tunai secara one-off (sekali) berjumlah RM14.7 bilion iaitu pada kadar 94 peratus.

Pemberian tunai ini termasuklah bantuan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi, Bantuan Prihatin Nasional, Bantuan Sara Hidup, pemandu e-hailing dan teksi, pesara kerajaan, dan lain-lain.

Beliau berkata, inisiatif yang melibatkan pelaksanaan jangka masa antara 3 hingga 6 bulan pula seperti diskaun bil elektrik, subsidi upah, moratorium, e-CAP KSWP dan lain-lain telah mencecah tahap 85 peratus dengan jumlah sebanyak RM108 bilion.

“Melalui Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA), kerajaan akan terus memantau pelaksanaan kesemua pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan dan bekerjasama rapat dengan agensi pelaksana dalam memastikan bantuan sampai dengan cepat dan efektif, termasuk pakej KITA PRIHATIN yang diumumkan baru-baru ini,” katanya dalam Laporan LAKSANA ke-24 yang dikeluarkan, hari ini.

Tengku Zafrul berkata sebanyak 99,694 tuntutan telah diterima bagi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PEKA B40) yang dikawal selia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dengan jumlah RM6.64 juta.

Beliau berkata bantuan bagi Program Subsidi Upah (PSU) di bawah PRIHATIN diberikan kepada majikan untuk tempoh tiga bulan bermula April sehingga Jun namun di bawah Pakej PENJANA, bantuan ini telah dilanjutkan selama tiga bulan lagi bermula Julai sehingga September 2020.

"Terkini, PSU telah diputus untuk dilanjutkan lagi di antara 3 hingga 6 bulan di bawah pakej KITA PRIHATIN. Setakat 25 September 2020, sebanyak RM11.93 bilion subsidi upah telah diluluskan yang memanfaatkan lebih 2.6 juta pekerja," katanya.

Beliau berkata bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion, secara keseluruhannya seramai 43,998 pekerja (peningkatan daripada 38,186 minggu lalu) telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini. 

Bagi matlamat melonjakkan perniagaan menerusi Kemudahan Automasi dan Digital PKS dengan peruntukan sebanyak RM300 juta, jumlah permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS adalah sebanyak RM71.4 juta, yang bakal memberi manfaat kepada 60 PKS.

Manakala bagi Kemudahan Agromakanan dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion pula, jumlah permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS adalah RM535.8 juta yang akan memberi manfaat kepada 859 PKS.

"Kerajaan menyediakan bantuan dan menggalakkan PKS serta Syarikat Peringkat Pertengahan (MTC) ke arah pendigitalan operasi dan saluran perdagangan termasuk peruntukan sebanyak RM100 juta bagi Geran Padanan Pendigitalan PKS dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, RM500 juta pembiayaan melalui SME Technology Transformation Fund dan Geran Automasi Pintar berjumlah RM100 juta dengan syarat had maksimum RM1 juta untuk setiap syarikat. 

"Sehingga 25 Sept, 2020, sebanyak 2,224 PKS telah memohon bagi ketiga-tiga bantuan ini dan sejumlah RM18.3 juta telah diluluskan dan akan memanfaatkan 1,314 PKS," katanya. 

Tengku Zafrul berkata setakat 25 Sept juga, sebanyak RM75.5 juta telah disalurkan dan memanfaatkan 11,383 PKS Mikro dan bagi Pembiayaan Mikro Kredit PENJANA di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN).

Menurutnya, di bawah Pembiayaan PKS PENJANA sebanyak 3,351 permohonan PKS telah diluluskan dengan nilai pinjaman sebanyak RM795.3 juta manakala 303 PKS telah memohon bantuan di bawah Kemudahan Pembiayaan Pelancongan PENJANA dengan jumlah RM17.5 juta telah diluluskan yang akan memanfaatkan 90 PKS.

Beliau berkata, menerusi matlamat merangsang ekonomi pula, kerajaan telah melancarkan Dana Penjana Nasional pada 27 Ogos, 2020 dengan peruntukan RM1.2 bilion khusus kepada sektor modal teroka dan permulaan di Malaysia. 

Daripada keseluruhan peruntukan dana berkenaan, sebanyak RM600 juta adalah suntikan pelaburan daripada kerajaan, manakala baki RM600 juta adalah padanan sumbangan modal pelaburan daripada pelabur antarabangsa yang menjalinkan usaha sama strategik dengan pelabur domestik merentasi keseluruhan kitaran hayat modal teroka merangkumi Seed/Co-Creation, Series A/B, Growth Stage dan Venture Debt. 

Tarikh akhir penyerahan bagi Cadangan Untuk Permintaan (RFP) telah ditutup pada 25 Sept 2020 dengan sebanyak 51 RFP telah diterima untuk proses penilaian.

Selain itu, katanya, sebanyak 5,932 permohonan telah diluluskan di bawah Kemudahan Skim AgroMakanan (PENJANA) di bawah Agrobank dengan sejumlah RM46.1 juta telah disalurkan yang memanfaatkan sebanyak 2,355 usahawan.

Tengku Zafrul berkata permohonan bagi ePenjana telah ditutup pada 24 September 2020 dan tempoh penggunaan kredit RM50 dalam e-dompet ini telah tamat tempoh pada 30 September 2020.

"Sehingga 24 September 2020, 11.15 juta rakyat telah berjaya menerima RM50 dalam e-Dompet mereka dengan jumlah nilai sebanyak RM557.46 juta," katanya.

-- BERNAMA
 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan