Sabtu, 31 Oktober 2020
Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA)
19/08/2020 06:47 PM

Oleh Sharifah Pirdaus Syed Ali

KUALA LUMPUR, 19 Ogos -- Program Sukuk Prihatin yang terbuka untuk rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas, adalah idea yang bernas kerana kerajaan tidak perlu membuat pinjaman daripada pemberi peminjam komersial terutamanya daripada bank luar, kata seorang ahli akademik. 

Prof Dr Mohd Nazari Ismail dari Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya berkata berbeza dengan keadaan apabila seseorang membuat pinjaman daripada simpanan, pemberi pinjaman komersial khususnya bank-bank mewujudkan duit baharu apabila mereka memberi pinjaman kepada kerajaan yang akan menyumbang kepada inflasi lebih tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata walaupun ia melibatkan penyertaan rakyat adalah bagus, sukuk, sebagai instrumen kredit, sebenarnya akan meningkatkan beban hutang kerajaan.

"Kerajaan mempunyai kewajipan untuk membayar balik dalam tempoh dua tahun bersama ‘keuntungan’ kepada pelanggan atau pemberi pinjaman.

"Jika kerajaan tidak mempunyai wang dalam tempoh dua tahun, maka ia terpaksa menerbitkan satu lagi Sukuk Prihatin atau meminjam daripada pasaran hutang, ia meningkatkan lagi beban hutang kerajaan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kaedah yang lebih baik adalah mewujudkan projek pelaburan yang dapat dilaburkan oleh orang ramai secara langsung dan juga menanggung beban risiko untuk mendapatkan keuntungan.

"Ia menyamai konsep Mudarabah atau Musharakah yang digalakkan oleh Islam," katanya.

Namun, Mohd Nazri berkata ia memerlukan penetapan minda di mana rakyat bersedia mengambil risiko untuk mendapatkan pulangan daripada pelaburan mereka.

Beliau berkata bahawa skim pelaburan bebas risiko (kerana diberi jaminan oleh kerajaan) dapat menimbulkan masalah kepaa kerajaan pada masa depan seperti apa yang berlaku dalam kes Tabung Haji.

Perbezaannya, pulangan Sukuk dijamin kerajaan adalah lebih rendah pada kadar dua peratus berbandig kes Tabung Haji, di mana pulangannya adalah sehingga lapan peratus.

Sebaliknya, sekiranya orang ramai berpendapat bahawa kadar inflasi akan melebihi dua peratus dalam tempoh dua tahun akan datang, kadar keuntungan Sukuk sebanyak dua peratus mungkin tidak begitu menarik, katanya.

Pada hari Selasa, Kementerian Kewangan melancarkan sukuk digital pertama di Malaysia, Sukuk Prihatin, sebagai salah satu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Sukuk Prihatin bernilai RM500 juta itu boleh dilanggan dengan pelaburan minimum RM500 tanpa had maksimum dan ia dapat dilanggan sepenuhnya secara digital melalui JomPAY dan DuitNow.

Sukuk yang berlandaskan prinsip Tawarruq melalui pengaturan Murabahah Komoditi itu bertujuan mengumpulkan dana daripada orang ramai dan syarikat yang ingin menyumbang kepada Kumpulan Wang COVID-19.

Ia menawarkan kadar keuntungan sebanyak dua peratus setahun yang akan dikreditkan ke dalam akaun pelabur setiap suku tahun dan dikecualikan cukai.

-- BERNAMA

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan