PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

PENJANA perkasa usahawan Bumiputera industri pendidikan - KPLB

06/06/2020 12:58 AM

KUALA LUMPUR, 5 Jun -- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyifatkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dapat memperkasa usahawan bumiputera dalam industri pendidikan untuk kekal beroperasi  pada  pasca-COVID-19. 

Menterinya Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata keprihatinan kerajaan menerusi Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek dengan meluluskan peruntukan khas modal kerja RM300 juta itu tepat pada masanya kerana pandemik COVID-19 memberi kesan kepada  institusi pendidikan dan kemahiran milik usahawan bumiputera berskala kecil.

"Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan kerjasama konsultan dan pakar akan mencadangkan kaedah terbaik bagi membantu institusi pendidikan dan kemahiran menyusun rancangan dan strategi untuk keluar daripada kemelut yang sedang dihadapi institusi terbabit.

"Pengalaman Mara menguruskan institusi pendidikan boleh diguna dan dikongsi bersama dengan institusi yang terkesan, terutamanya institusi pendidikan yang mempunyai ramai pelajar antarabangsa seperti Management and Science University (MSU), MAHSA University dan City Universiti Malaysia yang terjejas teruk.

"(Ini) kerana ketiadaan pelajar luar negara yang dibenar melanjutkan pelajaran di negara ini dalam waktu terdekat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Abd Latiff berkata bagi memastikan isu ini dapat ditangani secara holistik, KPLB akan menubuhkan satu jawatankuasa bersama dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memastikan setiap langkah yang diambil berkesan dalam jangka waktu terdekat, diuruskan oleh MARA Corp.

Mara sebagai agensi kementerian berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan dan pendidikan serta latihan kemahiran dan vokasional berperanan memastikan peruntukan modal kerja RM300 juta ini dapat menjana impak yang besar kepada ekonomi, katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan