PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

PENJANA: Sokongan padu kepada PKS dan rakyat

08/06/2020 09:18 AM

KUALA LUMPUR, 5 Jun -- Kerajaan membuktikan bahawa ia melakukan sedaya mungkin untuk menyokong rakyat, kumpulan yang terjejas dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan meletakkan asas yang kukuh menerusi sokongan kewangan dan inisiatif menyeluruh.

Di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan 40 inisiatif bernilai RM35 bilion yang mana sebahagian besarnya disasarkan bagi jaminan pekerjaan termasuk yang berada dalam ekonomi gig, meningkatkan kemahiran semula dan membantu aliran tunai bagi perniagaan.  

“Kerajaan memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau secara ringkasnya “PENJANA” ini dengan tema “Bersama Menjana Ekonomi”.  

“Di bawah pelan ini, kerajaan telah mengenal pasti tiga teras utama iaitu memperkasakan rakyat ; melonjakkan perniagaan; dan meransang ekonomi,” katanya semasa mengumumkan pelan tersebut, di sini. 

Antara lainnya, kerajaan akan memudahkan dasar bagi menyokong pertumbuhan ekonomi gig dan kebajikan pekerja dalam sektor ini. 

Ini akan dilakukan menerusi padanan geran bernilai sehingga RM50 juta bagi platform ekonomi gig yang menyumbang bagi pekerja yang mencarum di bawah Skim Bencana Pekerjaan PERKESO sehingga RM162 dan Skim i-Saraan KWSP sehingga RM250 setahun.

Ia juga akan menyediakan peruntukan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebanyak RM25 juta bagi program Global Online Workforce (GLOW) yang menyediakan khidmat kepada pelanggan antarabangsa ketika bekerja dari rumah.

Dalam usaha menggalakkan perusahaan mikro dan PKS menggunakan perkhidmatan digital, kerajaan bersama dengan sektor swasta akan membiayai usaha ini menerusi geran padanan bernilai RM140 juta.

“Peruntukan ini akan digunakan untuk sesi latihan, subsidi penjual dan bantuan penjualan. Inisiatif ini akan diterajui oleh MDEC bersama platform e-dagang yang terpilih,” katanya.

Dengan sasaran menggalakkan penggunaan e-dagang oleh perusahaan mikro dan PKS bagi meluaskan lagi capaian pasaran, kerajaan menerusi kempen E-dagangan Mikro dan PKS, akan memperuntukkan RM70 juta kepada perusahaan mikro dan PKS untuk beralih kepada pendigitalan perniagaan menerusi program yang dibiayai bersama dengan MDEC dan platform e-dagang.

Kerajaan juga akan bekerjasama dengan platform e-dagang untuk membiayai bersama baucar diskaun bagi menggalakkan pembelian dalam talian produk daripada peruncit tempatan. 

Sementara itu, mengenai penggunaan teknikal dan digital bagi PKS dan syarikat pertengahan, kerajaan akan memperuntukkan RM700 juta bagi membantu mereka serta memberi insentif kepada PKS dan syarikat pertengahan untuk mereka mendigitalkan operasi dan saluran perdagangan. 

Muhyiddin juga berkata kerajaan akan memberi bimbingan dan memudahkan proses pemulihan bagi perusahaan mikro dan PKS. 

Sebuah platform nasihat perniagaan sehenti dalam talian bagi perusahaan mikro dan PKS akan ditubuhkan bulan ini dengan peruntukan RM5 juta bagi meningkatkan capaian hab PKS fizikal sedia ada.

“Dalam usaha membantu kelangsungan PKS yang terlibat dalam sektor kepentingan yang disasarkan, sektor perbankan akan menawarkan dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui Skim Pembiayaan PKS PENJANA.

“Pembiayaan ini boleh dipohon mulai pertengahan Jun, 2020 dengan had sehingga RM500,000 bagi setiap PKS,” katanya.

Bagi perusahaan mikro pula, Kerajaan akan mewujudkan Pembiayaan Mikro PENJANA dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional dan TEKUN Nasional bagi pembiayaan sebanyak RM400 juta yang mana RM50 juta akan dikhususkan kepada usahawan wanita. 

Untuk memperkasakan penglibatan Bumiputera dan memastikan kelangsungan dalam bidang perniagaan dan keusahawanan, pembiayaan sebanyak RM200 juta akan ditawarkan melalui Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Selain itu, RM300 juta akan disalurkan kepada MARA di mana usahawan Bumputera termasuk institut kemahiran yang terjejas boleh mendapatkan pembiayaan untuk modal kerja.

“Di samping itu, bagi membantu aliran tunai PKS, mulai awal Julai, SME Bank melalui Skim SME-GO akan menyediakan pembiayaan kepada 16,000 kontraktor Gred G2 dan G3 yang berkelayakan dan telah mendapat projek di bawah PRIHATIN.

“Bagi memberi kemudahan kepada pihak kontraktor, tiada cagaran atau deposit perlu disediakan, dan, dalam usaha Kerajaan untuk membantu lebih 900 ribu perusahaan kecil dan sederhana dan usahawan tempatan, beberapa langkah dan insentif cukai akan dilaksanakan" kata Muhyiddin.

Bagi menggalakkan penubuhan entiti baharu PKS, Kerajaan bersetuju untuk memberikan rebat cukai pendapatan sehingga RM20,000 bagi setiap tahun untuk tempoh tiga tahun taksiran pertama tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Rebat cukai pendapatan ini diberikan kepada syarikat baharu yang ditubuhkan dan beroperasi antara 1 Julai 2020 dan 31 Disember 2021.

Selain daripada itu, untuk menggalakkan PKS meningkatkan daya saing dalam menjalankan perniagaan melalui skim pencantuman dan pemerolehan, Kerajaan bersetuju memberikan pengecualian duti setem ke atas surat cara berkaitan percantuman atau pemerolehan bagi transaksi yang disempurnakan antara 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021.

“Bagi membantu dan menggalakkan penganggur meningkatkan kemahiran, elaun latihan sehingga RM4,000 boleh dituntut daripada PERKESO oleh mereka yang hilang pekerjaan, walaupun mereka bukan pencarum di bawah Skim Insurans Pekerjaan.  

“Kerajaan juga akan menyediakan insentif kepada majikan yang menyediakan peluang perantis kepada lepasan sekolah dan graduan pada kadar RM600 sebulan untuk menangani isu kadar pengangguran belia dan meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM2 bilion akan diberi kepada program peningkatan kemahiran untuk mereka yang sedang menganggur dan juga golongan belia yang akan memanfaatkan lebih daripada 200 ribu orang.  

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan