Selasa, 24 November 2020
Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA)
06/06/2020 01:39 AM

KUALA LUMPUR, 5 Jun-- Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Pekerjaan Nasional untuk menyelaraskan dan memantau pelaksanaan kesemua inisiatif berkaitan pekerja di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan dan Menteri Sumber Manusia dengan dianggotai wakil-wakil daripada sektor swasta dan sektor awam yang berkaitan, katanya hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan PENJANA yang disiarkan secara langsung menerusi saluran radio dan televisyen.

Antara inisiatif berkaitan pekerja di bawah PENJANA adalah perluasan Program Subsidi Upah selama tiga bulan lagi dengan peruntukan sebanyak RM5 bilion.

Perdana menteri berkata subsidi upah itu ditetapkan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksimum 200 pekerja bagi setiap syarikat.

Beliau berkata selain itu untuk menggalakkan pengambilan pekerja oleh majikan, kerajaan akan memperkenalkan Program Insentif Pengambilan Pekerja dengan peruntukan RM1.5 bilion.

Mengikut program ini, syarikat akan diberikan insentif kewangan untuk memberi pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia.

Sebanyak 300,000 pencari kerja dianggarkan akan mendapat manfaat melalui dua insentif di bawah program tersebut iaitu pertama, insentif bagi menggaji penggangur berumur di bawah 40 tahun sebanyak RM800 sebulan bagi setiap pekerja.

“Kedua, insentif bagi menggaji penganggur berumur 40 tahun dan ke atas serta golongan Orang Kurang Upaya sebanyak RM1,000 sebulan,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan akan turut memperuntukkan RM2 bilion bagi program peningkatan kemahiran kepada mereka yang sedang menganggur dan juga golongan belia, dengan usaha ini akan memberi manfaat kepada lebih 200,000 orang.

-- BERNAMA

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan