PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

Kerajaan sedia peruntukan RM75 juta bantu ekonomi gig - PM Muhyiddin

05/06/2020 06:42 PM

PUTRAJAYA, 5 Jun -- Sebanyak RM75 juta akan diperuntukkan bagi membantu ekonomi gig, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, beliau berkata geran RM50 juta dalam bentuk dana padanan pula akan diperuntukkan untuk platform ekonomi gig bagi pekerja yang mencarum di bawah Skim Bencana Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Dalam usaha menggalakkan bidang freelancing, MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) akan diberi peruntukan RM25 juta bagi program Global Online Workforce (GLOW),” katanya ketika membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen tempatan, hari ini.

Ekonomi gig ialah pasaran buruh kontrak jangka pendek atau kerja bebas yang dilakukan oleh individu yang dipacu teknologi digital.

Dalam  pada itu, bagi mendorong perusahaan mikro serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menggunakan khidmat digital, Muhyiddin berkata kerajaan bersama-sama pihak swasta akan membiayai usaha tersebut melalui geran padanan sebanyak RM140 juta.

“Peruntukan akan diguna untuk sesi latihan, subsidi dan bantuan penjualan yang diterajui MDEC bersama platform e-dagang terpilih,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan dengan kerjasama syarikat swasta juga akan menjalankan kempen “Shop Malaysia Online” bagi menggalakkan rakyat berbelanja secara dalam talian, dengan kod promosi dan pelbagai baucar diskaun akan diberi melalui platform e-dagang.

“Sebagai permulaan, kerajaan akan memperuntukkan RM70 juta yang akan dipadankan dengan jumlah yang sama oleh platform e-dagang,” katanya.

Beliau berkata bagi menggalakkan rakyat supaya menyokong produk dan perkhidmatan tempatan, kerajaan juga akan meneruskan kempen “Buy Malaysia” dan antara inisiatif akan dilaksana termasuk menggalakkan rangkaian pasar raya besar untuk membuat penandaan produk tempatan dan juga menubuhkan saluran produk Malaysia yang berdedikasi di platform e-dagang. 

Perdana Menteri berkata dalam menjalani kehidupan normal baharu, semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk menggunakan pembayaran tanpa sentuh atau ‘contactless payment’.  

Justeru, Muhyiddin berkata bagi menggalakkan penggunaan perkhidmatan itu, melalui Program ePenjana yang bernilai RM750 juta, kerajaan akan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna.

“Ini akan dipadankan dengan tambahan baucar, pulangan tunai dan diskaun berjumlah RM50 daripada syarikat khidmat e-dompet. Inisiatif ini yang akan bermula pada Julai 2020 akan memanfaatkan 15 juta rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan