BAJET 2022

Anak syarikat tidak langsung UEM Sunrise jual kepentingan dalam Roc-union

19/08/2022 09:59 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh tidak langsung UEM Sunrise Bhd, UEM Sunrise South Africa Proprietary Ltd (penjual) merancang untuk menjual seluruh kepentingan ekuitinya sebanyak 80.4 peratus yang dipegang dalam Roc-Union Proprietary Ltd dan menuntut pada jumlah pertimbangan tunai sebanyak 142.6 juta rand (RM38.0 juta).

Penjual itu, yang merupakan anak syarikat milik penuh UEM Sunrise Overseas Corporation Sdn Bhd (UEMSOC), memeterai perjanjian penjualan saham dan tuntutan (SSCA) dengan Olive Investment Trust (pembeli).

“Pembeli juga memeterai perjanjian yang sama untuk membeli baki kepentingan ekuiti sebanyak 19.6 peratus dalam Roc-Union yang dipegang oleh pelabur tempatan,” menurut UEM Sunrise dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Mengenai rasional perjanjian itu, katanya keputusan untuk menjual seluruh ekuitinya dalam Roc-Union sejajar dengan pelan strategik pemulihan syarikat berikutan ia membolehkan syarikat menyelaraskan semula operasinya dari segi geografi dan memindahkan sumber kepada perniagaan dan bidang yang menawarkan potensi lebih besar.

Sementara itu, pertimbangan adalah berdasarkan akaun Roc-Union yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2021 selepas mempertimbangkan nilai saham Roc-Union dan pendahuluan pemegang saham sedia ada.

“Sebanyak 10 peratus (14.3 juta rand) daripada pertimbangan tunai dibayar melalui jaminan bank kepada peguam bagi pihak penjual, manakala baki sebanyak 90 peratus (128.3 juta rand) akan turut dibayar pada tarikh tutup.

“Selepas selesai cadangan penjualan itu, Roc-Union tidak akan lagi menjadi anak syarikat (tidak langsung) UEM Sunrise. Penjual dan UEMSOC kemudiannya akan menghentikan operasi di Durban, Afrika Selatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan