BAJET 2022

Keuntungan bersih Sunway REIT naik 122 peratus kepada RM74.51 juta

19/08/2022 12:06 AM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) naik kepada RM74.51 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM33.52 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, disumbangkan oleh peningkatan mendadak dalam segmen runcit. 

Hasil meningkat kepada RM144.51 juta daripada RM103.39 juta, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pendapatan daripada segmen runcit melonjak 73 peratus atau RM42.8 juta kepada RM101.4 juta disebabkan oleh prestasi keseluruhan yang lebih baik dalam hartanah runcit khususnya melalui peningkatan hasil Sunway Pyramid Mall sebanyak RM38.2 juta, hampir dua kali ganda hasil berbanding suku kedua tahun kewangan 2021 iaitu RM40.3 juta.

Pusat membeli-belah itu menyaksikan jualan penyewa yang menggalakkan semasa suku kedua sejajar dengan permintaan yang kukuh, perbelanjaan perayaan Hari Raya dan kelonggaran langkah-langkah sekatan COVID-19. 

Pendapatan hartanah bersih (NPI) segmen runcit menokok RM46.1 juta kepada RM71.6 juta.

Segmen pejabat mencatatkan perolehan RM19.7 juta, peningkatan kecil sebanyak dua peratus atau RM0.5 juta selepas disokong oleh kadar penghunian yang stabil 84 peratus, manakala segmen industri dan lain-lain, yang merangkumi Sunway REIT Industrial - Shah Alam 1, menyampaikan pendapatan serta NPI berjumlah RM1.7 juta, kenaikan sebanyak 10 peratus. 

Segmen perhotelan turut mencatatkan pertambahan dalam kadar purata penghunian bagi suku yang ditinjau berikutan peralihan kepada fasa endemik.

Walaupun operasi mencerminkan prestasi yang semakin positif, segmen perhotelan melaporkan hasil hanya sebanyak RM6 juta pada suku kedua tahun kewangan 2022, lebih rendah 31 peratus berbanding RM8.7 juta yang dicatatkan sebelum ini disebabkan oleh pengiktirafan sewa dijamin minimum untuk Hotel Sunway Putra pada suku kedua tahun kewangan 2021, yang telah pun terhenti.

Sunway REIT optimis ke atas tahun kewangan 2022, disokong oleh pertumbuhan yang mantap dalam segmen runcit disebabkan oleh asas yang rendah dari tahun lepas dan penurunan ketara dalam sokongan sewa.

''Unjuran ini seterusnya disokong oleh pemulihan secara beransur-ansur dalam segmen perhotelan, sumbangan pendapatan baharu daripada sayap terkini Sunway Carnival Mall dan penyambungan semula sumbangan pendapatan daripada pembukaan kembali Sunway Resort secara berperingkat, yang dahulunya dikenali sebagai Sunway Resort Hotel,'' tambahnya.

 -- BERNAMA 

 

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan