BAJET 2022

B3M didik pengguna lebih bijak berbelanja

18/08/2022 10:39 PM

PADANG BESAR, 18 Ogos (Bernama) -- Program Kepenggunaan Bijak Membeli, Menang Memakai (B3M) mampu mendidik pengguna supaya tidak mudah terpedaya dengan penipuan sekali gus mempunyai kesedaran kepenggunaan yang tinggi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis Mohamad Amir Abdullah berkata program tersebut juga memberi panduan kepada  pengguna cara membuat aduan kepada kementerian.

“Ramai pengguna mengeluh mengenai kos sara hidup yang semakin meningkat. Isu kenaikan harga barang dan kesukaran untuk mendapatkan bekalan barang keperluan harian di sesetengah kawasan turut meresahkan mereka,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan program berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir, Penasihat Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia Dr Faridah Hassan, Timbalan Pengarah FELDA Wilayah Alor Setar Mohd Rohanas Mohd Nor dan Penolong Pegawai Undang-Undang Seksyen Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia KPDNHEP Siti Sarah Shamsuddin.

Mohamad Amir berkata pihaknya berharap pengguna berbelanja dengan bijak sekali gus menyokong pemulihan semula ekonomi negara.

Beliau berkata pengguna perlu mengetahui tanggungjawab dan hak mereka, manakala peniaga pula mesti mematuhi peraturan serta mengamalkan etika perniagaan.

“Pengguna juga dinasihatkan agar membuat perancangan ketika membeli barang dapur dengan menyediakan senarai barangan yang hendak dibeli bagi mengatur perbelanjaan dengan bijak,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan