BERITA COVID–19   Hampir 13.2 juta kanak-kanak di AS dijangkiti COVID-19 | Filipina kesan jangkitan tempatan subvarian Omicron BA.2.12.1  | 30 peratus kanak-kanak di Malaysia lengkap vaksinasi COVID-19 | Kes baharu COVID-19 meningkat 119 peratus minggu lepas - KP Kesihatan | Singapura lapor 3 kes tempatan varian Omicron BA.4, BA.5 | 
BAJET 2022

Inisiatif 3R MOTAC, MoF untuk program pemulihan industri acara perniagaan - Nancy

23/03/2022 06:50 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Kewangan, menerusi Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) akan melancarkan Inisiatif 3R sebagai program pemulihan bagi industri acara perniagaan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata 3R iaitu Reset (set semula), Restart (mula semula) dan Recovery (pemulihan), bertujuan untuk membentuk masa depan industri tersebut dengan mempercepatkan pemulihan secara kolektif.

“Untuk melaraskan semula industri tersebut, delegasi antarabangsa haruslah terus memilih dan menghadiri acara di Malaysia. Tetapi mereka mestilah mempunyai perlindungan insurans COVID-19 yang mencukupi memandangkan kini ia adalah keperluan perjalanan. Justeru, MyCEB akan menawarkan dan menyediakan perlindungan insurans penuh kepada 10,000 delegasi antarabangsa pertama.

“Penerima pertama ialah Simposium Mesin Turbo dan Pam Asia (ATPS) yang akan diadakan Mei ini dengan anggaran 800 delegasi. Ini adalah permulaan yang baik,” katanya selepas menghadiri Hari Persatuan MyCEB di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini. 

Beliau berkata menerusi inisiatif itu, MyCEB akan turut menangggung sebahagian kos untuk 10 pemain industri bagi memulakan semula perniagaan mereka dengan menyertai setiap pameran perdagangan seperti  IMEX Jerman, ibtmWorld Sepanyol dan IMEX Amerika Syarikat. 

“Diharapkan mereka akan meraih peluang perniagaan, kontrak dan seterusnya mendapatkan acara untuk Malaysia,” katanya.

Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan berasaskan semangat Keluarga Malaysia, Nancy berkata biro tersebut akan turut membantu pemain industri untuk memperoleh kelayakan profesional seperti CMP, CEM dan kelayakan antarabangsa lain yang boleh didapati untuk industri berkenaan.

“MyCEB turut bersetuju untuk membantu syarikat-syarikat mengekalkan keahlian mereka dalam persatuan industri utama seperti MACEOS, AFECA, ICCA, IAPCO dan lain-lain dengan memberi subsidi untuk yuran keahlian,” katanya.

Pada majlis sama, Nancy turut mengumumkan pelancaran MySafe Business Events Planner iaitu perancang digital oleh MyCEB dan Majlis Acara Perniagaan Malaysia (BECM), yang diperkenalkan untuk memaklumkan langkah keselamatan dan informasi berkenaan pengurusan COVID-19 oleh pihak kerajaan, bagi membantu dan membimbing pengembara acara perniagaan antarabangsa dan penganjur ketika berada di negara ini.

Majlis tersebut juga menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyCEB dan Kraftangan Malaysia untuk mengutamakan kraf tempatan sebagai hadiah dan cenderamata kepada delegasi antarabangsa bagi meningkatkan ekonomi luar bandar serta mempromosi warisan Malaysia.

-- BERNAMA

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan