BAJET 2022

Sabah main peranan pastikan kejayaan pemulihan ekonomi BIMP-EAGA - Hajiji

28/10/2021 05:43 PM

KOTA KINABALU, 28 Okt -- Sabah akan memainkan peranan untuk memastikan kejayaan pelan pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19 di Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN-Brunei-Indonesia- Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata Sabah mengalu-alukan Kenyataan Bersama Sidang Kemuncak Ke-14 Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN-Brunei-Indonesia- Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat antara negara peserta bagi melonjakkan ekonomi selepas pandemik COVID-19.

"Sabah juga akan mengambil bahagian untuk memastikan kejayaan rancangan pemulihan selepas COVID-19, antaranya pembangunan Koridor Ekonomi BIMP-EAGA. 

"Kami bersetuju dan menyokong pandangan Malaysia yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa BIMP-EAGA akan menjadi platform yang berguna dalam kebangkitan ekonomi.

"Ia juga merupakan petanda baik dengan objektif yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menjadi pemerhati pada Sidang Kemuncak ke-14 BIMP-EAGA yang diadakan secara maya, hari ini.

Hajiji berkata antara perkara yang telah dipersetujui dalam Kenyataan Bersama itu ialah inisiatif Kuarantin Satu Borneo untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan. 

"Sabah telah mengenal pasti tiga titik sempadan iaitu Bantul, Sebatik dan Serudung di bawah fasa kedua inisiatif itu manakala fasa perintis adalah di sempadan Entikong, Indonesia - Tebedu, Sarawak dan Sungai Tujuh, Brunei - Sungai Tujuh, Miri," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan