BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
BAJET 2022

Inisiatif pembangunan Tekun Nasional, SME Bank terima pengiktirafan ADFIAP

28/10/2021 03:38 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt -- Inisiatif pembangunan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) kelolaan SME Bank dan TEKUN Nasional, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), telah mendapat pengiktirafan antarabangsa oleh Persatuan Institusi Kewangan dan Pembangunan di Asia serta Pasifik (ADFIAP).

SME Bank meraih dua Anugerah Merit bagi Projek Pembangunan Terbaik untuk Program ISHRAF dan Projek Tanggungjawab Korporat Sosial terbaik bagi Program Penjana Komuniti@SME Bank manakala TEKUN Nasional turut menerima dua Anugerah Projek Pembangunan Cemerlang bagi projek TEKUN Mart dan TEKUN Mobilepreneur.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata inisiatif SME Bank yang melibatkan 240 orang usahawan mikro kategori B40 dan asnaf serta pelaksanaan program oleh TEKUN Nasional memanfaatkan 3,202 usahawan mikro dengan nilai pembiayaan RM27.2 juta adalah manifestasi konsep Keluarga Malaysia yang kerajaan perjuangkan pada masa kini.

“Sesiapa pun tidak boleh ketinggalan dan kita mahu melihat semua golongan usahawan mendapat manfaat daripada pelbagai program dan bantuan yang diberikan semasa kita dalam proses pemulihan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata Program Penjana Komuniti@SME Bank dan ISHRAF telah membantu peserta untuk mengukuhkan daya tahan dan mengurangkan tekanan operasi perniagaan akibat daripada penutupan aktiviti ekonomi pada tahun lalu.

“Penekanan kepada penggunaan kaedah digital untuk mengembangkan perniagaan dalam kalangan peserta telah memberi nafas baharu kepada mereka untuk meneruskan serta mengembangkan perniagaan yang dijalankan,” katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Adam Abd Ghani berkata Pelaksanaan Skim Pembiayaan TEKUN Mobilepreneur merupakan usaha bagi membuka peluang menjana pendapatan kepada golongan yang hilang pekerjaan akibat pandemik COVID-19 untuk menjadi pekerja gig atau rakan penghantar bagi syarikat penghantaran makanan, barangan dan keperluan harian.

Manakala melalui Program TEKUN Mart, ia telah menyediakan platform kepada usahawan mikro untuk memasarkan produk mereka.

Mesyuarat Tahunan ADFIAP ke-44 yang diadakan secara hibrid bertemakan “Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dan Peluang Pasca-Pandemik” memberi fokus terhadap usaha yang dilakukan oleh IKP bagi membantu PKS berdaya saing selepas pandemik COVID-19.

ADFIAP yang ditubuhkan pada 1976 dan mempunyai 87 institusi anggota di 36 buah negara merupakan sebuah platform untuk pembangunan dan institusi PKS yang terlibat dalam pembiayaan pembangunan lestari di rantau Asia Pasifik.

-- BERNAMA

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan