BAJET 2022

Kerjasama erat, bantuan Persekutuan percepat pulih ekonomi Sabah - Tun Juhar

21/09/2021 04:07 PM

KOTA KINABALU, 21 Sept  -- Sektor ekonomi Sabah akan dapat dipulihkan dengan cepat menerusi kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, dengan pelbagai bantuan serta pakej rangsangan disediakan, kata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Katanya ini dapat dilihat apabila hubungan akrab kedua-dua kerajaan telah melaksanakan beberapa pakej rangsangan dan pelan pemulihan, dengan menyalurkan pelbagai bantuan sebagai usaha mengurangkan kesan negatif pandemik COVID-19 terhadap kehidupan rakyat, dan perkembangan ekonomi negeri.

Beliau berkata bantuan disalurkan kepada rakyat dan komuniti perniagaan terjejas itu termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Sabah; dana Bantuan Prihatin COVID-19 Sabah; dan pembukaan sektor-sektor ekonomi secara berfasa oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan Persekutuan melaksanakan pelan pemulihan ekonomi seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat; Pelan Jana Semula Ekonomi Negara; Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia; Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi; serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor; dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam; serta Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya.

Juhar turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas perhatian, sokongan dan segala bantuan diberikan kepada Sabah, bukan sahaja dalam memulihkan semula ekonomi tetapi juga pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di negeri itu.

Beliau berkata peruntukan besar diberikan kepada Sabah berjumlah RM5.1 bilion di bawah Belanjawan Negara 2021 untuk pelaksanaan projek-projek pembangunan, termasuk pelbagai bantuan bagi menangani pandemik COVID-19 mencerminkan keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap rakyat dan negeri itu.

“Bagi Pakej Bantuan Prihatin COVID-19 Sabah 2.0 dan Pakej Bantuan Prihatin COVID-19 Sabah 3.0, Sabah membelanjakan RM324 juta bagi membantu rakyat dan semua sektor terkesan akibat pandemik.

“Ini merangkumi bantuan tunai sekali bayar; pengecualian bayaran sewa rumah Program Perumahan Rakyat; program imunisasi dan bantuan bakul makanan,” katanya.

Mengenai Program Imunisasi COVID-19, Juhar berkata, kerajaan menyasarkan 60 peratus penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi menjelang penghujung bulan ini dan 80 peratus penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi pada akhir bulan hadapan (Oktober).

Beliau berkata dengan komitmen penghantaran bekalan vaksin oleh kerajaan Persekutuan serta kapasiti Pusat Pemberian Vaksin di seluruh negeri, dan pelaksanaan program jangkauan luar bandar berupaya memberi suntikan vaksin kepada lebih 80,000 individu sehari.

“Saya yakin sasaran berkenaan akan dapat dicapai. Saya berharap penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Juhar berkata Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 cetusan idea Hajiji bagi membangunkan semula ekonomi ketika Sabah dicengkam cabaran ekonomi dan pandemik yang belum berakhir, adalah dinanti-nantikan dalam memberi harapan baharu untuk negeri terus bergerak maju ke hadapan.

Katanya, fasa pertama Hala Tuju SMJ akan dilaksanakan seiring dengan kerangka utama pembangunan negara melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12.

“Saya amat yakin Hala Tuju SMJ akan menjadi pemangkin dan peneraju kepada kemajuan Sabah selaras dengan pendekatannya mengoptimumkan sumber dan hasil negeri, merangsang pemulihan ekonomi, meningkatkan ekonomi rakyat dan membangunkan modal insan, ke arah membina sebuah negeri dan masyarakat bersatu padu, harmoni, aman, maju, makmur dan sejahtera,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan