BAJET 2022

Pelan Induk Pasaran Modal 3 beri laluan kepada lebih ramai untuk melabur - Tengku Zafrul

21/09/2021 03:46 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept -- Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan memberi laluan kepada penduduk dengan lebih meluas untuk menyertai pertumbuhan negara dengan membolehkan produk pelaburan dan saluran pengedaran yang lebih inklusif dan mudah diakses. 

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sebagai antara pembolehubah utama untuk pembaharuan struktur dalam ekonomi, pasaran modal menjadi lebih inovatif, cekap dan pelbagai dengan akses kepada produk pelaburan yang lebih baik.

“Teknologi juga penting dalam memudahkan pembiayaan untuk perniagaan tempatan seperti perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (PKSM) dan syarikat besar sebagai sebahagian daripada agenda pemulihan ekonomi negara,” katanya dalam ucaptama pada pelancaran CMP3 hari ini. 

Beliau berkata ini akan membantu mereka dalam meningkatkan rantaian nilai, menggunakan penyelesaian digital dan memberikan pekerjaan yang bermakna.

“Satu lagi tonggak penting dalam pasaran modal ialah bagaimana ekosistem kewangan menggerakkan modal kepada syarikat peringkat awal dan pertumbuhan,” katanya.

“Kerjasama awam-swasta (PPP), seperti struktur pelaburan bersama akan berkembang dan menyumbang kepada pembangunan segmen modal teroka (VC) dan ekuiti swasta (PE) kita. Ini termasuk menawarkan kepakaran dan pertambahan lebih banyak pelaburan swasta akan membolehkan usahawan kita bersaing dan meningkatkan kedudukan mereka di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Beliau mengambil contoh pelaburan Carsome yang berjaya di bawah program Dana Penjana Nasional dan satu lagi syarikat Unicorn - Xendit, syarikat permulaan teknologi kewangan (fintech) yang akan memindahkan hab kewangannya ke Malaysia.

Katanya ini merupakan bukti bagaimana inisiatif menggalakkan inovasi dan menyediakan modal risiko untuk menyokong perniagaan dan syarikat permulaan baharu di Malaysia.

Pada akhir 2020, Tengku Zafrul berkata pasaran modal meningkat dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 5.3 peratus kepada RM3.4 trilion, disokong oleh aktiviti pengumpulan dana yang berterusan dalam pasaran ekuiti dan bon.

Selain meningkat dari segi saiz, pasaran modal negara turut menerajui dalam membuat penemuan baharu di peringkat serantau dan global, meletakkan Malaysia sebagai antara pasaran modal yang lebih baik dalam kalangannya, terutamanya dari segi keunikan dan kekuatan negara itu sendiri.

Ini termasuk memperkenalkan saluran pengumpulan dana alternatif yang memenuhi PKSM, seperti pengumpulan dana masyarakat berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P).

Dalam kewangan Islam, katanya Malaysia turut mempelopori struktur yang dianggap pertama di dunia seperti Sukuk hijau dan terbitan sukuk runcit digital sepenuhnya, iaitu Sukuk Prihatin, serta terkini Sukuk Kelestarian berdaulat dalam dolar AS.

Ini telah membawa kepada pembangunan lebih banyak produk berasaskan shariah seperti Dana Sukuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta saluran pengumpulan dana inovatif lain yang menekankan kepada kesejahteraan sosial seperti IPO wakaf.

Menteri Kewangan itu berkata Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Bajet 2022 yang akan datang akan memberi tumpuan kepada sektor dan isi rumah paling terjejas melalui langkah-langkah bersasar dalam jangka pendek selain mengurangkan kerosakan ekonomi dalam jangka panjang.

Ini disokong oleh Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR), melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan dalam jangka sederhana melalui rangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) serta inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat dalam transformasi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan/syarikat berkaitan kerajaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan