BERITA COVID–19   Fasa endemik: Menteri terlibat diminta teliti SOP | Kanak-kanak lelaki dua tahun, dikesan kes indeks Kluster Lungkidau di Sabah | PKPD di tiga lokaliti di Sabah, Pahang - MKN | COVID: Tiga kluster baharu diisytihar di Sarawak | Remaja berusia lingkungan 12 hingga 15 tahun di Sarawak akan divaksin mulai Khamis ini | 
PEMULIH

Sultan Kelantan perkenan Istana Balai Besar dibuka kepada rakyat untuk pemberian vaksin

01/08/2021 03:29 PM

KOTA BHARU, 1 Ogos -- Sultan Kelantan Sultan Muhammad V memperkenan supaya pintu Istana Balai Besar, di sini, dibuka kepada rakyat jelata bagi tujuan kemudahan pelaksanaan program pemberian vaksin COVID-19.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar berkata Istana Balai Besar merupakan satu-satunya istana di Kelantan yang dibuka bagi tujuan tersebut.

Beliau berkata, Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan di Istana Balai Besar anjuran Pejabat Sultan Kelantan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) bagi Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan lima hari, mulai hari ini.

“Bagi program (vaksinasi) ini dalam Fasa Pertama PPN ia telah dilaksanakan pada 9 Jun lalu yang membabitkan seramai 350 penerima vaksin yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan Istana negeri Kelantan.

“Sementara, bagi program kali ini, dijangka seramai 2,000 penerima dijangka akan menerima vaksin iaitu 1,000 penerima adalah rakyat jelata dan selebihnya adalah kakitangan dan kerabat-kerabat Istana Negeri Kelantan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan anjuran Pejabat Sultan Kelantan di Istana Balai Besar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Tengku Azmi berkata Sultan Muhammad V juga memuji rakyat Kelantan yang telah mendaftar untuk menerima vaksin dan baginda turut menitahkan agar semua rakyat Kelantan sama ada di dalam atau di luar negeri supaya mengambil serius berkenaan peningkatan jangkitan COVID-19 di Kelantan serta negara ini.

"Baginda juga menyeru semua rakyat memainkan peranan masing-masing dalam melindungi diri sendiri dan keluarga,” katanya sambil memaklumkan Sultan Muhammad V juga menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh barisan hadapan yang terlibat terutamanya kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam membendung penularan COVID-19.

“Mereka tidak mengenal penat lelah berkhidmat untuk segenap lapisan masyarakat dan bertungkus lumus dalam memastikan kes yang mencanak naik ini dapat dilandaikan secepat mungkin. 

Dalam masa sama, Tengku Azmi turut memaklumkan Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra juga amat prihatin terhadap masalah serta kekangan yang dihadapi oleh pihak KKM dalam memastikan kelancaran proses pemberian vaksin COVID-19.

“Pada 23 Jun lalu, bertempat di Istana Balai Besar juga, Tengku Mahkota Kelantan telah mengampuni perkenan untuk mengurniakan sumbangan lima peti ‘Top Loading’ bagi tujuan kemudahan penyimpanan bekalan vaksin COVID-19 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan,” katanya.

Malah, Tengku Azmi berkata beberapa program lain juga sedang dalam perancangan pihaknya dan akan diadakan di Istana Balai Besar termasuk program penyerahan bakul makanan kurniaan baginda kepada penduduk Kelantan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

-- BERNAMA

 

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan