BERITA COVID–19   Fasa endemik: Menteri terlibat diminta teliti SOP | Kanak-kanak lelaki dua tahun, dikesan kes indeks Kluster Lungkidau di Sabah | PKPD di tiga lokaliti di Sabah, Pahang - MKN | COVID: Tiga kluster baharu diisytihar di Sarawak | Remaja berusia lingkungan 12 hingga 15 tahun di Sarawak akan divaksin mulai Khamis ini | 
PEMULIH

Permohonan Skim SPIN 2.0, CBRM 2.0 dibuka 15 Ogos

01/08/2021 02:49 PM

PUTRAJAYA, 1 Ogos -- Permohonan pembiayaan tanpa caj bagi perniagaan mikro yang terkesan akibat pandemik COVID-19 iaitu Skim Pembiayaan Informal (SPIN) 2.0 dan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (CBRM) 2.0  akan dibuka mulai 15 Ogos ini.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan skim berkenaan di bawah pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang dijangka memberi manfaat kepada 11,500 usahawan.

Had maksimum pembiayaan bagi SPIN 2.0 adalah RM10,000 manakala CBRM 2.0 adalah sehingga RM20,000.

Katanya, berdasarkan kajian Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), dianggarkan terdapat 580,000 perniagaan di bawah perusahaan mikro, kecil dan sederhana akan berdepan dengan kegagalan perniagaan ekoran pandemik COVID-19.

“Diharapkan usahawan mengambil peluang memohon skim pembiayaan ini untuk menambah modal perniagaan termasuk usahawan mikro di bawah kategori First To Close, Last To Open (FCLO) yang terjejas perniagaan berikutan penutupan operasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Skim berkenaan dikendalikan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional). Permohonan SPIN 2.0 dan CBRM 2.0 boleh dibuat secara dalam talian atau hadir ke pejabat cawangan Tekun Nasional berhampiran.

Menurut Wan Junaidi, skim berkenaan merupakan penambahbaikan daripada produk sebelum ini bagi membantu usahawan mikro dalam kelangsungan perniagaan mereka.

Produk SPIN 1.0 dilancarkan pada Disember tahun lepas bagi membantu usahawan informal yang terjejas perniagaan akibat COVID-19 dan sehingga kini, seramai 3,369 individu telah mendapat pembiayaan dengan nilai RM19.8 juta.

Menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) PRIHATIN dengan dana sebanyak RM200 juta, Tekun Nasional melancarkan CBRM 1.0 pada April 2020 dengan peruntukannya telah disalurkan sepenuhnya pada Disember lepas kepada 26,326 usahawan. 

Tekun Nasional telah menyalurkan pembiayaan kepada 480,958 orang usahawan dengan nilai RM6.59 bilion di seluruh negara sejak diwujudkan pada 1998 sehingga Jun 2021.

-- BERNAMA

 

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan