BAJET 2022

Kampung Kacang Puteh rindu kelibat pelancong

21/07/2021 04:56 PM

IPOH, 21 Julai  -- Siapa tidak kenal Kampung Kacang Puteh, Buntong di sini yang lazimnya menjadi destinasi pilihan pelancong ke bandar raya ini bagi mendapatkan pelbagai jenis kudapan diusahakan penduduk tempatan sejak berkurun lamanya.

Namun penangan wabak COVID-19 yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara menyebabkan perniagaan itu merosot mencecah hingga 70 peratus sekali gus kawasan berkenaan sunyi tanpa pengunjung.

Seorang pengusaha generasi keempat perniagaan itu, T. Seenivasagan, 27, berkata perasaan rindu melayani pengunjung termasuk pelancong sukar diungkapkan malah ada kalanya sayu melihat pelbagai jenis kacang terbiar sepi menunggu tarikh luput atau dibuang begitu sahaja.

"Kadang-kadang premis ini langsung tidak ada yang datang. Penduduk sekitar yang datang pun, mereka hanya beli dalam kuantiti sedikit. Keadaan sungguh berbeza, sebelum kedatangan pandemik ramai pelancong akan membeli dalam kuantiti yang banyak.

"Ia menyebabkan penghasilan produk kekacang, muruku dan kerepek di kawasan ini dikurangkan dan tidak dilakukan setiap hari seperti lazimnya kerana ketiadaan pelancong," katanya ketika ditemui Bernama di premisnya yang berusia lebih 100 tahun di kampung berkenaan baru-baru ini.

Ekoran perniagaan yang merudum, Seenivasagan yang dibantu isteri, G. Ellil Vinootteni, 27, terpaksa mengurangkan waktu bekerja dua pekerjanya untuk menstabilkan kos perbelanjaan dan operasi walaupun premis itu dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 8 malam.

Bagi menangani cabaran untuk kekal dalam industri dan perniagaan turun-temurun itu selain supaya tidak hilang ditelan zaman, Seenivasagan mengubah strategi jualan mengikut norma baharu dengan menumpukan jualan secara dalam talian menerusi aplikasi seperti Shopee dan Lazada.

Jelasnya ia termasuk perkhidmatan penghantaran seperti FoodPanda bagi memenuhi permintaan namun hanya dapat membantu meningkatkan hasil jualan sebanyak 10 peratus sahaja.

"Ini kerana produk kekacang dan kerepek yang dihantar secara pos tidak dalam keadaan sama seperti dibeli di sini kerana berlaku sedikit perubahan tekstur," katanya yang turut membuat promosi melalui laman sosial Facebook dan Instagram untuk membuat pesanan dan pembelian.

Bagaimanapun beliau berkata rahsia ramuan turun temurun oleh nenek moyang menjadikan produk keluaran mereka yang terdiri daripada lebih 40 jenis kekacang dan kerepek tetap mempunyai peminat tersendiri terutama bagi produk paling laris iaitu kerepek ubi, kacang pagoda dan kerepek campuran.

Seenivasagan berharap situasi pandemik COVID-19 di negara ini segera pulih supaya industri itu dapat terus dimajukan dan kawasan berkenaan kembali dikunjungi orang ramai.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan