BAJET 2022

MPC gesa syarikat permulaan suarakan masalah pengawalseliaan halang inovasi

08/06/2021 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jun -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menggesa syarikat permulaan untuk menyuarakan masalah pengawalseliaan mereka yang menghalang inovasi dalam perniagaan ekonomi digital melalui portal -- http://mymudah.mpc.gov.my/.

Dalam kenyataan hari ini, MPC berkata gesaannya kepada input industri mengenai beban pengawalseliaan yang tidak perlu dalam ekonomi digital adalah antara langkah awal yang penting untuk merealisasikan inisiatif mengguna pakai pendekatan pengawalseliaan yang pantas untuk memenuhi keperluan perniagaan ekonomi digital, seperti yang ditetapkan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

MPC telah diamanahkan dengan tanggungjawab untuk mengenal pasti peraturan keutamaan bagi mengkaji dan mengemas kini dalam menambah baik iklim perniagaan untuk perniagaan ekonomi digital berkembang.

Katanya pelaksanaan keseluruhan inisiatif yang berkesan dijangka menyumbang kepada mewujudkan sekurang-kurangnya 5,000 syarikat permulaan pada 2021.

Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata syarikat perlu memaklumkan kepada mereka mengenai cabaran pengawalseliaan dalam mengendalikan perniagaan ekonomi digital dan tugas syarikat ialah memudahkan pengurusan isu perundangan agar perniagaan berkembang.

“Penting bagi kami untuk mengetahui halangan dalam menghubungkan anda dengan pihak yang tepat dan membolehkan pelan intervensi yang berkesan agar perniagaan berkembang. Ini adalah platform untuk pemilik dan majikan perniagaan ekonomi digital menyuarakan kesukaran anda,” katanya.

Abdul Latif berkata MPC telah diberi mandat untuk mengkaji semula keperluan pengawalseliaan bagi memudahkan inovasi dan memperluas liputan untuk memasukkan teknologi dan model perniagaan baharu.

Dalam memacu pertumbuhan produktiviti negara ke tahap lebih tinggi terhadap impak daripada pandemik, beliau berkata lebih penting berbanding sebelum ini, peraturan perlu menyokong, bukan hanya untuk pemulihan perniagaan, tetapi sama penting ke arah mewujudkan lebih banyak syarikat.

Syarikat yang mendaftarkan masalah pengawalseliaan mereka di http://mymudah.mpc.gov.my/ dikehendaki mengisi butiran mengenai isu yang dihadapi dan cadangan untuk mengatasinya.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan