BAJET 2022

China, ASEAN komited pertingkat lagi hubungan

08/06/2021 04:44 PM

BEIJING, 8 Jun -- China membentangkan enam cadangan memperkukuh lagi perkongsian strategik China-ASEAN ke tahap lebih tinggi.

Ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar, Wang Yi berkata China dan ASEAN sudah menjadi rakan dagang paling besar, rakan kerjasama konotatif dan rakan strategik dinamik menerusi usaha bersama sepanjang tiga dekad lalu.

“Bagi meningkatkan perkongsian strategik China-ASEAN, Beijing mengusulkan enam cadangan. Pertama dengan memperkasakan kerjasama memerangi pandemik COVID-19.

“China akan terus menyediakan vaksin COVID-19 kepada negara ASEAN semampu mungkin, selain menggiatkan kerjasama  penyelidikan, pengeluaran dan program inokulasi vaksin,” katanya  berucap pada Mesyuarat Khas Menteri Luar sempena 30 tahun hubungan dialog China-ASEAN di Chongqing pada Isnin.

Wang Yi berkata, perkara kedua adalah usaha meningkat dan memperkasa ekonomi bagi menyokong Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF).

“Ketiga, mengukuh komunikasi strategik antara pucuk pimpinan dan mengadakan perbincangan untuk menaiktarafkan hubungan China-ASEAN kepada perkongsian strategik komprehensif.

“Keempat, memuktamadkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (CoC) secepat mungkin. China bersedia mempergiat dialog dan rundingan dengan pihak berkepentingan bagi mengendalikan percanggahan pendapat dengan baik dan memperkukuh lagi saling mempercayai,” katanya.

Perkara kelima yang ditekankan beliau adalah China dan ASEAN perlu mempertahankan multilateralisme.

“Negara-negara serantau perlu menjunjung prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bersama-sama memelihara orde yang berasaskan undang-undang antarabangsa.

“Keenam, bersama menyemarakkan nilai Asia sambil saling mempelajari tamadun yang berbeza serta meningkatkan interaksi sosiobudaya,” katanya.

Menteri-menteri luar negara ASEAN dalam mesyuarat itu menyifatkan dialog dengan China adalah antara yang paling penting dan bernas, sehingga menjadi tonggak utama kepada kedamaian dan kemakmuran serantau.

Mereka turut menyatakan komitmen melaksanakan Wawasan Perkongsian Strategik ASEAN-China 2030 dan Pelan Tindakan Perkongsian Strategik untuk Kedamaian dan Kemakmuran (2021-2025), bagi merancakkan penyelarasan strategi pembangunan dan mengukuh lagi hubungan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan