BAJET 2022

Grid Masa Depan penentu peralihan tenaga 

06/06/2021 11:04 AM

Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 6 Jun -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan terus memberi keutamaan untuk melabur dalam memodenkan Grid Nasional menjadi Grid Masa Depan, grid pintar yang masih kekal berdaya harap, mudah pulih daripada gangguan, pintar dengan teknologi digital dan fleksibel dalam memenuhi keperluan peralihan tenaga negara.

Sejajar dengan matlamat peralihan tenaga daripada menggunakan bahan bakar kepada tenaga boleh baharu (RE) sebanyak 31 peratus menjelang 2025, Grid Nasional perlu dipersiapkan untuk menerima suntikan RE agar berupaya menyokong aliran tenaga dua arah yang dinamik dan pada masa sama mengekalkan kestabilan voltan.

Justeru, di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), TNB merancang untuk melabur RM9 bilion setahun dalam tempoh 2021 hingga 2024 (tertakluk kepada kelulusan kerajaan). Ia bagi meneruskan usahanya membangunkan Grid Masa Depan menjadi pemboleh utama peralihan tenaga dengan menghubungkan seluruh Rantaian Nilai daripada penjanaan kepada penghantaran dan pembahagian hingga ke premis pelanggan. 

Pengguna sebenarnya sudah mula menikmati Grid Masa Depan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menerusi pelaburan modal TNB, juga di bawah IBR. Antaranya Automasi Pembahagian (DA), penggunaan Sistem Maklumat Geospatial (GIS) dan Infrastruktur Pemeteran Lanjutan dengan sistem grid yang berdaya tahan serta dilengkapi dengan keselamatan siber. Semua ciri-ciri ini diguna pakai oleh utiliti tenaga global.

Inisiatif ini telah bermula dengan program transformasi TNB, Reimagining TNB (RT) sejak 2016.  Penyediaan Grid Masa Depan merupakan salah satu daripada empat tonggak utama RT bagi mencapai sasaran TNB sebagai antara 10 utiliti ternama di dunia menjelang 2025.

Begitu pun, menurut Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin, TNB perlu terus melabur supaya grid lebih konsisten dan fleksibel untuk menerima sumber lain, khususnya RE seperti solar yang semakin berkembang dengan ramai pengguna menjadi prosumer.

Pada masa ini, bekalan elektrik negara sudah bertaraf dunia, malah lebih baik berbanding sebahagian negara maju termasuk di Eropah.

Dalam Sistem Minit Penghantaran yang mengukur minit gangguan akibat voltan tinggi setiap tahun, TNB mencatatkan penurunan kepada 0.08 minit pada 2020 bagi 12 tahun berturut-turut di bawah paras dua minit.

Ini merupakan pencapaian yang unggul di Asia Tenggara dan di dunia.

Sebagai perbandingan, ESKOM Afrika Selatan mencatat 3.16 minit (2019), TransGrid Australia 0.25 minit (2019) dan FinGrid 0.15 minit (2020).

Pengukuhan sistem grid sahaja tidak mencukupi, kepintaran teknologi digital turut digunakan bagi melengkapkan aspirasi GoTF. Grid telah merangka satu strategi komprehensif yang dinamakan Program Grid Transformasi Digital, memfokus kepada pembangunan digital pada empat teras asas iaitu aset, warga kerja, sistem dan inovasi.

Sebanyak 55 inisiatif digital giat dijalankan di bawah program ini dan dikemudi oleh Control Tower, satu fungsi baharu yang diwujudkan bagi memastikan perjalanan transformasi grid digital dilaksanakan dengan berkesan selain memaksimumkan pulangan pelaburan yang dibuat selaras dengan aspirasi RT.

Rangkaian Pengedaran (DN)

Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI), kaedah industri tenaga global untuk mengukur purata tempoh masa dilalui pengguna ketika gangguan bekalan berlaku dalam setahun, merosot secara konsisten di bawah paras 60 minit sejak 2014 sehingga mencapai 44.95 minit pada tahun lepas. 

Pencapaian ini meletakkan TNB pada kedudukan bertaraf dunia bagi kategori Country SAIDI iaitu selepas KEPCO Korea Selatan (8.31 minit) dan DES Brunei (34 minit). SAIDI bagi negara maju seperti Perancis (Enedis) ialah 64.2 minit manakala Itali (Enel) mencatat 49 minit. 

Ini antara kemajuan yang dicapai melalui pelaburan dalam pemasangan sistem Automasi Pembahagian (DA) untuk mempercepatkan pemulihan bekalan, yang setakat ini melibatkan 17,965 daripada lebih 85,000 pencawang pembahagian di seluruh Semenanjung.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Ir. Wan Nazmy Wan Mahmood berkata pihaknya menyasarkan pelaksanaan DA ke atas 49 peratus pencawang pembahagian TNB menjelang 2025 dalam program pemodenan Rangkaian Pembahagian bagi menyokong Grid Masa Depan.

DA membolehkan pemulihan gangguan bekalan ke pencawang pembahagian dapat dilakukan dalam tempoh 15 minit, malah boleh sepantas lima minit berbanding 120 minit sebelum pelaksanaannya berdasarkan data 2014.

Ia dipermudahkan oleh pengesanan gangguan dalam tempoh lebih pantas melalui penggunaan Sistem Maklumat Geospatial (GIS) yang memetakan aset-aset TNB seperti kabel bawah tanah dengan tepat. Kecekapannya dipertingkatkan melalui peningkatan produktiviti pekerja di lapangan yang menggunakan penyelesaian secara digital.

Dilengkapi dengan pelaksanaan Sistem Pengurusan Pengedaran Lanjutan (ADMS) yang membolehkan grid mempunyai keupayaan untuk pulih dengan sendiri. Ia mampu mengasingkan kerosakan rangkaian secara automasi dan membuat pemulihan secara automasi juga dengan mengubah aliran bekalan.

Bagi mengekalkan kestabilan voltan, Pengoptimuman Volt-VAR (VVO) turut dilaksanakan.

Ini adalah lima daripada tujuh inisiatif yang sedang giat dilaksanakan oleh TNB di seluruh Semenanjung. Terdapat lima lagi inisiatif tambahan bakal dilaksanakan bagi menyempurnakan Program Utiliti Pintar seiring dengan transformasi TNB.

Semua usaha ini menjadi lebih berkesan apabila penyertaan pelanggan diperkasakan melalui pemasangan meter pintar yang sudah mencapai lebih 1.2 juta di Melaka dan Lembah Klang. Ia membolehkan pelanggan mengawal penggunaan tenaga masing-masing melalui pemantauan data secara harian di portal dan aplikasi web myTNB.

“Hasil pelaburan besar-besaran ini dapat dinilai oleh penanda aras Indeks Grid Pintar (SGI) 2020, dengan TNB mendapat 62.5 peratus, tempat kedua di ASEAN di belakang SP Power dari Singapura (75 peratus).

“Aspirasi TNB adalah mencapai 85 peratus pada 2025 untuk menjadi antara 20 utiliti terbaik dalam SGI World Ranking,” kata Ir. Wan Nazmy.

SGI adalah indikator pengukuran tahap pencapaian utiliti tenaga grid pintar di seluruh dunia berdasarkan tujuh dimensi utama iaitu kepuasan dan pemerkasaan pelanggan, keselamatan, tenaga hijau, pemantauan dan kawalan, analisis data, daya harap bekalan dan integrasi tenaga boleh baharu teragih.

Beliau berkata pelaksanaan pelbagai program untuk grid pintar ini, selain memenangi hati pelanggan dengan memberikan perkhidmatan terbaik pada harga berpatutan, ia juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Pelaksanaan program ini bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi negara, memajukan sektor tenaga hijau, memesatkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan.

“Ia juga akan menyokong agenda nasional untuk bergerak ke arah ekonomi rendah karbon, serta memacu aspirasi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dengan membangunkan keupayaan dan kemahiran pembekal,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan