Oleh Yong Soo Heong
KUALA LUMPUR, 2 Mei -- Cadangan pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri yang terletak 30 kilometer dari Gua Musang, Kelantan, bakal menyaksikan pertambahan 300 megawatt (MW) dalam kapasiti tenaga hidro Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang berjumlah 2,536.1 MW sebaik mendapat kelulusan Suruhanjaya Tenaga.
Ini tidak hanya meningkatkan aspek kebolehpercayaan dan jaminan sistem grid bagi kemudahan 6.96 juta pengguna berdaftar di Semenanjung Malaysia, tetapi turut memainkan pelbagai peranan untuk negara serta negeri Kelantan.
Sejak 72 tahun lepas, TNB hanya mengendalikan tiga skim empangan tenaga elektrik hidro iaitu Skim Hidroelektrik Sungai Perak (1,249.1MW), Skim Cameron Highlands (622MW) dan Skim Kenyir (665MW).
Pada masa ini, tenaga hidro ‘hijau’ hanya merangkumi 18 peratus daripada kapasiti TNB di Semenanjung Malaysia selain solar sebanyak 0.6 peratus.
Selain itu, penjanaan arang batu pula sebanyak 45.6 peratus manakala gas 35.9 peratus.
Kombinasi tenaga hijau serta fosil ini membolehkan kapasiti penjanaan TNB berjumlah 16,030.53MW.
Jika diamati, pada 2016 misalnya sumbangan hidro adalah kurang lima peratus terhadap bekalan tenaga Malaysia iaitu di bawah paras kemuncak sebanyak 29.3 peratus pada 1988.
Oleh itu, sejajar peranannya sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui yang menjaminkan, cadangan pembinaan Empangan Nenggiri itu dijangka dapat meningkatkan minat serta kepentingan Malaysia terhadap tenaga hijau.
Peningkatan Kepentingan Tenaga Boleh Diperbaharui
Apabila ditauliahkan kepada TNB, Projek Empangan Nenggiri itu akan membolehkan syarikat utiliti tenaga negara itu meningkatkan pematuhan terhadap strategi kerajaan untuk meningkatkan penjanaan tenaga berasaskan sumber tenaga boleh diperbaharui (RE).
Malah, ini turut mencerminkan usaha proaktif TNB ke arah penggunaan lebih banyak RE yang dilihat lebih berpatutan kini berikutan kemajuan teknologi selain kesedaran lebih tinggi dalam usaha mengurangkan impak perubahan iklim.
Sumbangan tenaga hijau yang rendah terhadap kombinasi penjanaan TNB juga akan berubah secara beransur-ansur sejajar seiring dengan sasaran TNB untuk menjadikan sumbangan RE sebanyak 40 peratus dari segi jumlah kapasiti gabungan menjelang 2025 ketika ia terus meningkatkan kapasiti berkenaan di peringkat domestik serta pasaran antarabangsa terpilih.
Jika dilihat, TNB sememangnya memberi penekanan terhadap usaha yang menjurus kepada RE.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan telah menetapkan sasaran RE sebanyak 31 peratus daripada kapasiti penjanaan pada 2025.
Tambahan pula dengan peralihan tenaga global ketika ini, masa depan sumber tenaga banyak bergantung kepada aspek hijau dan inisiatif RE ketika dunia terus memilih untuk menyahkarbon serta mengurangkan perubahan iklim.
Sumbangan Positif Terhadap Ekonomi Negara
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif baharu TNB Datuk Ir. Baharin Din berkata pelaburan syarikat itu ke arah mencapai peralihan tenaga yang berkesan, akan memberi sumbangan positif terhadap ekonomi negara berikutan potensi industri RE yang disasarkan menjana 2.5 kali hingga 3.0 kali lebih banyak pekerjaan bagi setiap dolar pelaburan berbanding teknologi bersumberkan bahan api fosil.
TNB, seiring dengan strategi pembangunan 10 tahun, juga telah menyasarkan usaha ke arah ekonomi berkarbon rendah dengan meningkatkan kapasiti RE kepada 8,300MW menjelang 2025, termasuk projek hidro besar.
Setakat akhir 2020, TNB telah mencapai kapasiti RE berjumlah 3,398.2MW yang mana sejumlah 2,732.3MW di Malaysia manakala 665.9MW di peringkat antarabangsa.
Selain penjanaan tenaga, projek Empangan Nenggiri itu akan turut memberi sokongan kepada Kelantan di beberapa kawasannya, terutama dari segi tebatan banjir dan bekalan air bersih dan tenaga elektrik ke kawasan pedalaman, prasarana sosial selain peluang pekerjaan.
Ini berikutan faktor hujan lebat serta air pasang ketika tempoh tengkujuh atau Monsun Timur Laut pada November hingga Februari yang sering mencetuskan masalah besar bagi rakyat Kelantan di kawasan rendah berikutan banjir selain beban kewangan yang ditanggung oleh kerajaan negeri.
Oleh itu, bertepatan dengan pelbagai peranan Empangan Nenggiri dalam usaha tebatan banjir serta bekalan air bersih dan penjanaan tenaga, ini tidak hanya memberi manfaat kepada kalangan nelayan di hiliran tetapi juga pesawah padi yang amat bergantung kepada pengairan.
Pelbagai Peranan Untuk Negara, Negeri dan Rakyat Kelantan
Empangan Nenggiri juga akan memberi impak sosioekonomi yang positif ke atas negara dari segi bekalan tenaga tambahan kepada grid kebangsaan selain menyuntik manfaat lain untuk Kelantan dan penduduknya, khususnya mereka yang menetap di sekitar kawasan projek tersebut.
Lebih tepat lagi, mereka akan menikmati akses lebih baik terhadap kemudahan moden, pekerjaan dengan upah lebih tinggi serta peluang keusahawanan, terutama pengembangan aktiviti ekopelancongan.
Kajian kebolehlaksanaan projek Empangan Nenggiri juga telah dilaksanakan seawal 1986 dengan kawasan tanah yang dijangka terlibat adalah kira-kira 53.84 kilometer persegi iaitu kurang enam kali ganda berbanding Empangan Kenyir.
Sebagaimana projek tenaga hidro berskala besar seumpamanya, ia tidak terkecuali berdepan bantahan terutamanya daripada mereka yang masih berpegang terhadap cara hidup tradisional mereka.
Antara alasan yang dibangkitkan adalah kehilangan tanah warisan, habitat semula jadi, peluang atau sumber pendapatan serta menjejaskan amalan dan tradisi serta hubungan kekeluargaan.
Namun, berlandaskan pengalaman pembangunan tiga skim hidro lainnya, TNB telah memberi penelitian terperinci demi memastikan kepentingan masyarakat Orang Asli selain hidupan liar yang terlibat, turut dilindungi.
TNB juga berpegang kepada prinsip “untuk menjadi yang terbaik jika ini satu-satunya cara bagi mengundang manfaat lebih besar.”
Sehubungan itu, TNB telah menegaskan bahawa ia akan terus bekerjasama erat dengan pihak berkepentingan yang relevan bagi pelaksanaan projek Empangan Nenggiri dengan mematuhi ketetapan undang-undang dan pengawalseliaan selain komited dalam memastikan kesejahteraan masyarakat setempat dan alam sekitar yang melangkaui pelan tindakan mitigasi yang disarankan.
Menangani Kebimbangan dan Tuntutan
Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd Datuk Nor Azman Mufti berkata TNB komited terhadap usaha pampasan bagi masyarakat Orang Asli selain bantuan sewajarnya sehingga projek tersebut selesai.
Menurut sumber-sumber, masyarakat Orang Asli seramai 1,115 orang daripada 257 keluarga yang menetap di Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias, akan dipindahkan ke dua kawasan baharu yang dilengkapi dengan kemudahan moden.
Mereka yang menetap di Pos Tohoi akan dipindahkan ke Kuala Yai manakala penduduk di Pos Pulat dan Kampung Wias ke kawasan berhampiran Ladang Sungai Terah.
Setakat ini, reaksi penduduk yang menetap di kawasan yang terlibat bagi projek empangan itu adalah positif sepertimana didedahkan baru-baru ini oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) -- sebuah pertubuhan bebas yang menyiasat aduan mengenai isu hak asasi manusia di negara ini.
Pada satu sesi libat urus dengan masyarakat Orang Asli di Kuala Lipis, April lepas yang berlanjutan sehingga tiga jam lamanya, SUHAKAM berkata penduduk itu sebaliknya mahukan projek berkenaan dipercepat bagi membolehkan mereka dapat meraih manfaat pemodenan.
SUHAKAM turut mendedahkan bahawa masyarakat Orang Asli terbabit mahukan projek itu turut mengutamakan kebimbangan berkaitan aspek bekalan air bersih, masalah banjir, peluang pekerjaan serta perniagaan berkaitan ekopelancongan di kawasan terbabit.
Pematuhan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG)
Sambil menyifatkan pertemuan itu sebagai harmoni, Pesuruhjaya SUHAKAM Jerald Joseph berkata ia turut menangani kebimbangan penduduk setempat yang diwakili oleh enam pemimpin komuniti Orang Asli dari Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias yang terletak dalam kawasan projek tersebut.
Hadir sama pada mesyuarat itu adalah empat ahli SUHAKAM, 11 wakil Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), pegawai Sekretariat Negeri Kelantan, Pejabat Daerah Gua Musang, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) selain TNB.
Jerald yang mempengerusikan mesyuarat tersebut, juga memuji kelancaran serta penjelasan terperinci TNB kepada masyarakat terbabit yang telah diberi peluang menyuarakan pandangan masing-masing.
Beliau menyifatkan sikap keterbukaan setiap pihak terlibat sebagai langkah penting bagi pembangunan tersebut yang berlandaskan prinsip-prinsip hak asasi manusia.
Mesyuarat itu turut mengutamakan perkongsian maklumat secara terbuka yang lebih ketara kerana bertujuan mencari jalan lebih harmoni ke arah menangani pelbagai tuntutan semua pihak atau kumpulan yang berkepentingan.
Menyentuh perkara itu, Nor Azman Mufti berkata sejajar dengan pematuhan terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), TNB yang juga sebuah syarikat berkaitan kerajaan dan bertanggungjawab, sentiasa terbuka terhadap usaha perbincangan dan sesi libat urus dengan pihak terbabit dalam projek-projek pembangunannya sebagaimana ditetapkan oleh ESG.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pembangunan) Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata sesi libat urus itu telah membolehkan penyebaran perincian maklumat kepada mereka yang hadir, termasuk pelbagai manfaat daripada projek berkenaan.
Kemajuan Masa Depan
Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Ajeh Baharom pula berharap projek itu dapat dipercepat berikutan masyarakat Orang Asli di tiga kawasan berkenaan telah lama menunggu pembangunan sejak lapan tahun lepas.
“Majoriti penduduk di Pos Tohoi, Pos Pulat and Kampung Kuala Wias telah menyatakan persetujuan untuk berpindah ke kawasan lain bagi memulakan kehidupan baharu," katanya.
Apa yang pasti, kenyataan beliau itu berkemungkinan merujuk kepada salah satu perumpamaan kehidupan -- "andai kita tidak berubah, kita tidak berkembang. Jika tidak berkembang, (bermakna) kita bukanlah hidup dalam erti kata sebenarnya."
TNB juga dijangka mewujudkan inisiatif baharu bagi pembangunan projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri berkenaan dalam usaha meminimumkan impak pembangunannya terhadap persekitaran kawasan terbabit.
Ini termasuk aspek pemulihan habitat menerusi pelbagai aktiviti penanaman semula pokok, khususnya di kawasan terlibat dengan operasi TNB seperimana yang telah dilakukan sebelum ini.
TNB juga dikenali dengan usaha peningkatan biodiversiti berterusan bagi loji hidroelektrik Sungai Perak di Empangan Temengor.
Di Hulu Terengganu pula menyaksikan penanaman semula benih pokok dan rumput bagi tujuan penjanaan semula hutan di kawasan yang terlibat dalam perubahan alam sekitar, sejajar dengan kepercayaan TNB bahawa langkah ini dapat meningkatkan fungsi habitat sebagai koridor hidupan liar.
Selain itu, TNB juga memenuhi tanggung jawab dalam usaha pemuliharaan spesies ikan menerusi pelbagai aktiviti ekopelancongan seperti kawasan perlindungan ikan dan sukan memancing yang dapat meningkatkan tarikan pelancongan bagi menambah sumber pendapatan masyarakat setempat.
-- BERNAMA
© 2023 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan