BELANJAWAN 2024

MAJLIS PEMBANGUNAN USAHAWAN, PENIAGA KECIL PERINGKAT DAERAH DITUBUHKAN TAHUN INI

26/01/2023 06:51 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan menubuhkan sebuah majlis pembangunan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil tahun ini, kata Timbalan Menterinya K. Saraswathi. 

Beliau berkata penubuhan majlis berkenaan bertujuan untuk memudahkan urusan antaranya melibatkan isu lesen serta tapak perniagaan dan ia kini sedang dalam peringkat perincian melibatkan persediaan dokumen 'Terma Rujukan' (ToR) sebelum diumumkan pelaksanaannya nanti. 

“Ini ialah inisiatif kerajaan untuk mempercepatkan penyampaian perkhidmatan, daripada rakyat sentiasa bergantung kepada Ahli Parlimen untuk membawa (sesuatu isu) kepada kementerian jadi ini akan memudahkan masyarakat,” katanya kepada Bernama. 

Saraswathi berkata penubuhan majlis itu juga akan berperanan sebagai pusat sehenti bagi usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil melibatkan pihak berkuasa tempatan di setiap daerah di negeri masing-masing dengan pemantauan pihak kementerian.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata majlis yang bakal dipengerusikan oleh pegawai daerah itu diharap dapat menguruskan pembangunan dan menyelesaikan isu melibatkan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil di peringkat akar umbi secara lebih berkesan.

Sementara itu, mengulas mengenai pembentangan semula Belanjawan 2023 yang akan memberikan fokus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), beliau berpandangan perkara itu mampu untuk memberi lonjakan kepada ekonomi negara. 

“Di pihak Kementerian, kita ingin beri tumpuan kepada pembangunan usahawan baharu dan juga membantu usahawan-usahawan sedia ada untuk berkembang daripada kecil ke sederhana dan sederhana menjadi besar.

“...jadi kita berikan tiga tumpuan iaitu membantu usahawan untuk perbesarkan penglibatan mereka dan kedua memfokuskan (pembangunan usahawan) kepada kepentingan semasa iaitu menurunkan kos sara hidup dan menumpukan kepada industri eksport,” katanya. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan akan memberikan tumpuan kepada PKS dalam pembentangan semula Bajet 2023 bulan depan.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan