BELANJAWAN 2024

CGS-CIMB SECURITIES JANGKA PERTUMBUHAN IHP RENDAH 3.0 PERATUS PADA 2023 

25/01/2023 12:43 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- CGS-CIMB Securities Sdn Bhd menjangka Indeks Harga Pengguna (IHP) berkembang pada kadar yang rendah sebanyak 3.0 peratus tahun ke tahun pada 2023 berikutan langkah-langkah kawalan harga yang berterusan.

Dalam nota penyelidikan, firma sekuriti itu berkata inflasi keseluruhan menunjukkan tanda-tanda sederhana berikutan kesan asas rendah yang berkurangan dan penurunan harga komoditi.

Ia percaya campur tangan kerajaan dalam barangan yang ditadbir akan berterusan dalam tempoh terdekat.

“Kami menjangka inflasi akan berkurangan pada asas tahun ke tahun tetapi kekal tinggi dalam jangka pendek hingga sederhana berdasarkan tekanan harga yang berterusan,” katanya.

Inflasi keseluruhan meningkat 3.8 peratus tahun ke tahun pada Disember 2022, rendah sedikit daripada 4.0 peratus pada November 2022 berikutan pertumbuhan yang perlahan untuk kos makanan dalam persekitaran langkah-langkah kawalan harga oleh kerajaan.

CGS-CIMB Securities berkata semakan semula subsidi elektrik pada Januari 2023 untuk pengguna bukan domestik serta bukan perusahaan kecil dan sederhana (voltan rendah) mungkin membawa kepada peningkatan dalam inflasi keseluruhan.

Bagaimanapun, impaknya adalah minimum berdasarkan sumbangannya yang terhad kepada kumpulan IHP, katanya, sambil menyatakan pergerakan harga baru-baru ini telah didorong terutamanya oleh faktor tolakan kos berbanding tarikan permintaan dalam persekitaran pasaran tenaga kerja yang lebih tegar dalam negara (rundingan gaji terhad dan berperkesatuan yang lemah).

Sementara itu, Public Investment Bank menjangka tekanan inflasi akan kekal tinggi dalam tempoh terdekat tetapi kadar pertumbuhan dijangka rendah pada suku pertama 2023 berikutan inflasi yang lebih stabil untuk barangan bukan makanan sejajar dengan panduan yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Januari.

“Kami menjangka inflasi keseluruhan negara berada pada purata dalam julat 3.0 peratus dan 3.5 peratus pada tahun ini, tertakluk kepada perubahan dalam langkah-langkah dasar domestik seperti kemungkinan pengenalan subsidi bahan api bersasar dan kawalan harga.

“Oleh itu, kami menjangka penjelasan yang menyeluruh mengenai garis masa dan strategi untuk penggunaan subsidi bersasar untuk menyokong kumpulan pendapatan B40 dan M40 serta perniagaan kecil yang terjejas oleh kenaikan harga baru-baru ini, yang kami menjangka akan dinyatakan dalam pengumuman Bajet 2023 pada Februari,” katanya.

Public Investment Bank menjangka BNM akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah pada 2.75 peratus pada mesyuarat MPC pada Mac dan Mei.

Ia mengandaikan bank pusat akan menaikkan kadar utama dengan 25 mata asas lagi kepada 3.00 peratus pada separuh kedua tahun ini tetapi ini bergantung kepada langkah-langkah dasar domestik, seperti kemungkinan pengenalan subsidi bahan api bersasar dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dunia.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan