BELANJAWAN 2024

KHM CADANG MAHU DAPAT SEMULA KHIDMAT SENTUHAN PAKAR PUKULAN SUDUT PENALTI

17/01/2023 05:16 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bercadang mendapatkan khidmat pakar pukulan sudut penalti sebagai usaha meningkatkan ketajaman teknik pemain Speedy Tigers menjaringkan gol menerusi gerakan daripada percubaan tersebut.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata cadangan mendapatkan sentuhan bekas pakar pukulan sudut penalti antarabangsa dalam dan luar negara akan dibentangkan pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif KHM pada 29 Jan ini.

Beliau berkata kegagalan pemain memanfaatkan peluang daripada pukulan sudut penalti merupakan masalah utama sering membelenggu skuad kebangsaan sejak kebelakangan ini dan terus berlaku pada Piala Dunia 2023 yang sedang berlangsung di India, ketika ini.

“Penguasaan percubaan pukulan sudut penalti menghantui skuad negara sejak beberapa tahun...misalnya, jika memanfaatkan peluang ini semasa menentang Chile, semalam, keputusan mungkin menang 8-2 atau 7-2 dan bukan 3-2. Situasi sama ketika berdepan Belanda tempoh hari...jika dapat menjaringkan gol hasil pukulan sudut penalti, kita mungkin seri atau tewas 4-2 berbanding 4-0.

“Saya telah berbincang dengan ketua jurulatih kebangsaan, A. Arul Selvaraj dan telah mengenal pasti beberapa tenaga pakar teknikal untuk pukulan sudut penalti . Saya akan berunding dengan beberapa daripada mereka tetapi terlalu awal untuk mendedahkan nama calon,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian rakan penaja baharu KHM, syarikat Shan Poornam Sdn Bhd., di sini, hari ini.

Subahan berkata tenaga pakar yang bakal dibawa masuk itu akan berkhidmat secara separuh masa bagi berkongsi tips dan pengetahuan luas mereka kepada barisan kejurulatihan serta pemain negara.

“Kita perlu mencari penyelesaian agar dapat mempersiapkan sebuah pasukan yang lebih mantap menjelang temasya Sukan Asia  ke-19 di Hangzhou, China pada September ini . Kita perlu menang temasya ini bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya.

Ketika kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 202, skuad kebangsaan, di bawah bimbingan Roelant Oltmans, mendapat sentuhan bekas pakar pukulan sudut penalti Belanda, Taeke Takema, secara sambilan.

Subahan berkata kekangan dana dilihat punca KHM tidak mengikat tenaga pakar secara sepenuh masa kerana perlu menelan perbelanjaan yang besar malah mengakui mereka juga mempunyai komitmen lain bersama beberapa pasukan handal dari luar negara.

Justeru, beliau berkata penajaan daripada syarikat korporat mahupun luar seperti Shan Poornam amat penting dalam usaha membantu KHM mendapatkan sokongan teknikal bukan sahaja kepada skuad senior malah remaja, sekali gus dapat meningkatkan prestasi mereka pada masa depan.

Subahan, yang teruja dengan penajaan selama dua tahun bagi 2023-2024 berjumlah RM400,000 oleh syarikat pengurusan sisa tempatan itu, turut mengakui KHM memerlukan dana RM3 juta setahun bagi menampung perbelanjaan, antaranya untuk kesemua skuad lelaki dan wanita, remaja serta penganjuran kejohanan.

Selain bantuan daripada pihak luar, beliau juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan dana tambahan diberikan kepada KHM menerusi pembentangan Bajet 2023 pada 24 Feb depan.

Dalam pada itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Shan Poornam, Nesapurana Selvakumar berkata pihaknya tertarik untuk menaja KHM setelah mendengar penjelasan Arul Selvaraj yang berazam membawa sukan hoki ke peringkat tertinggi selain mahu memperluas skop tajaan kepada bidang sukan selepas sering membantu murid sekolah selain pesakit kanser di negara ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan