BELANJAWAN 2024

BAJET 2023: PERUNTUK PERATUSAN DENDA DIKUTIP KEPADA KERAJAAN SABAH

28/09/2022 06:37 PM

KOTA KINABALU, 28 Sept (Bernama) -- Sabah Environmental Trust (SET) berharap kerajaan melalui Bajet 2023, akan memperuntukkan peratusan tertentu denda yang dikutip bagi kesalahan di bawah perundangan negeri disalurkan kepada agensi berkaitan atau kerajaan negeri.

Ia juga mahu hutan simpan yang berkaitan diisytiharkan sebagai hutan ‘tertutup’ di bawah Enakmen Perhutanan 1968.

Ketua Pegawai Eksekutif SET Dr Rahimatsah Amat berkata terdapat beberapa perundangan di Sabah iaitu Enakmen Perhutanan 1968, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997, Enakmen Taman 1984 dan Enakmen Perlindungan Alam Sekitar 2002 yang boleh menyumbang hasil tersebut kepada agensi berkaitan atau negeri.

Beliau berkata setakat ini, jika didapati bersalah oleh mahkamah atas kesalahan itu, denda yang dikutip masuk ke akaun disatukan persekutuan.

“Agensi negeri atau negeri sendiri tidak mendapat satu sen pun. Oleh itu, dapat dilihat lebih banyak lagi kesalahan sedemikian diselesaikan melalui ‘kompaun’ yang biasanya sangat kecil dan tanpa rekod.

“Denda di mahkamah (termasuk cukai) adalah perkara persekutuan, oleh itu negeri tidak mempunyai kuasa ke atas denda ini," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, menurut Rahimatsah terdapat dahuluan Akta Cukai Pelancongan 2017, kutipan daripada pelancong asing bagi caj setiap bilik hotel Malaysia setiap malam sejak 2017 telah dikongsi dengan semua negeri di Malaysia dengan sewajarnya.

“Sabah mengutip sejumlah yang besar, dan 50 peratus daripada jumlah yang dikutip telah dikembalikan kepada kerajaan negeri,” katanya sambil menambah bahawa ia telah ditangguhkan semasa pandemik pada 2020 tetapi berharap ia akan diaktifkan semula pada 2023 supaya dapat membantu usaha kerajaan negeri dalam menambah baik kemudahan di Sabah.

Rahimatsah berkata perkara itu turut diketengahkan semasa dialog Roadshow Bajet 2023 dengan Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa pada 28 Ogos 2022 di Universiti Malaysia Sabah.

Mengenai keperluan mengisytiharkan hutan simpan yang berkaitan sebagai hutan ‘tertutup’, Rahimatsah berkata pada masa ini hutan simpan di Sabah ‘terbuka’ untuk diceroboh oleh pemburu haram kerana hanya mereka yang ditangkap dengan ‘hasil hutan’ boleh didakwa.

“Oleh itu, adalah penting untuk memastikan orang yang memasuki hutan simpan dikendalikan dengan sewajarnya, seperti mengisytiharkan hutan simpan yang berkaitan sebagai hutan ‘tertutup’,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata adalah perlu kerajaan membuat peraturan di bawah Seksyen 42(1) (a) (ii) Enakmen Hutan 1968 untuk mengisytiharkan semua kawasan yang telah dikenal pasti sebagai kawasan nilai pemuliharaan tinggi (HCV) sebagai 'hutan tertutup'.

Rahimatsah juga berharap pihak berkuasa persekutuan akan mengambil langkah akomodatif untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri mengenai pencalonan Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Imbak Canyon (DaMal) Rainforest Landscape (DRL) sebagai tapak Warisan Dunia (WH) semula jadi.

Beliau berkata Lembangan Maliau pada mulanya dicadangkan untuk pencalonan sebagai tapak WH oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, semasa usul untuk membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Lapan pada Oktober 2003.

Semasa mesyuarat kabinet negeri pada 22 Jun 2011, DaMal telah diluluskan untuk dicalonkan sebagai tapak WH dan akan diketuai oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (MTCE).

“Pasukan petugas telah menyerahkan dossier pencalonan kepada MTCE pada awal 2014, tetapi entah bagaimana terdapat isu kerana tapak cadangan itu tidak disenaraikan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Rahimatsah berkata pada 18 Julai 2018 Kabinet negeri meluluskan untuk membuka semula proses penamaan calon, justeru penglibatan berterusan dengan pihak berkepentingan dan agensi tumpuan perlu diteruskan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan