BELANJAWAN 2024

PELAKSANAAN SYOR MPN BIDANG KUASA PERDANA MENTERI - MUHYIDDIN

27/09/2022 04:26 PM

PUTRAJAYA, 27 Sept (Bernama) -- Majlis Pemulihan Negara (MPN) tidak mempunyai kuasa pelaksanaan terhadap 95 syor yang dibawanya untuk pertimbangan kerajaan menerusi memorandum Jemaah Menteri sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata MPN hanya bertindak sebagai badan penasihat kepada kerajaan yang tidak mempunyai kuasa pelaksanaan.

“Sebagai Pengerusi MPN, saya tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan menteri, ketua setiausaha kementerian atau ketua pengarah jabatan kerajaan untuk mengambil langkah tertentu atau membuat keputusan tertentu bagi mempercepat proses pemulihan negara.

“Kuasa ini terletak di tangan Perdana Menteri dan Kabinet,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di sini hari ini.

Beliau berkata skop tugas MPN adalah memberi nasihat dan perakuan kepada kerajaan untuk diteliti sebelum langkah tertentu dilaksanakan.

Muhyiddin berkata sehingga kini, sejumlah 86 syor MPN telah diluluskan oleh Kabinet manakala sembilan lagi sedang menunggu keputusan.

“Syor-syor MPN dibawa ke Kabinet untuk kelulusan dan selepas itu hendaklah dilaksanakan oleh kementerian atau agensi kerajaan yang berkenaan,” katanya sambil menambah 69 syor adalah berkaitan isu utama yang mempunyai impak terhadap pemulihan ekonomi dan sosial manakala 26 lagi berkaitan hal ehwal pentadbiran.

MPN ditubuhkan pada Julai 2021 bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berfungsi memantau pelaksanaan PPN ketika negara beralih ke fasa endemik.

Muhyiddin turut menggesa kerajaan agar mempercepat proses pemulihan negara berdasarkan syor yang dikemukakan oleh MPN khususnya berkaitan isu pengambilan pekerja asing serta pembiayaan industri Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Beliau berkata MPN juga menggesa kerajaan agar memberi keutamaan terhadap peningkatan kemiskinan bandar dan luar bandar serta bantuan segera kepada PMKS termasuk moratorium bagi memulihkan aliran wang tunai sektor itu.

Muhyiddin berkata MPN berharap kerajaan memberi tumpuan utama kepada usaha pelaksanaan langkah berkesan bagi memulihkan ekonomi negara sekali gus meringankan beban rakyat.

“Saya harap menerusi Bajet 2023, kerajaan akan mengemukakan langkah seimbang dan berkesan bagi mengawal kenaikan kadar inflasi, mengatasi kejatuhan nilai ringgit, merangsang pertumbuhan ekonomi dan membantu rakyat yang susah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan