BELANJAWAN 2024

LEBIH RAMAI PENIAGA DAFTAR PROGRAM E-DOMPET SEJAK EPEMULA DILANCARKAN - TOUCH 'N GO

25/04/2022 09:58 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Bilangan rakan peniaga yang mendaftar untuk Touch 'n Go eWallet meningkat sejak bermulanya pemberian tunai ePemula pada 11 April, 2022.

Ketua Operasi ‘Back-end’ dan Ketua Projek ePemula Touch ‘n Go eWallet, Mohd Herman Sarbini berkata syarikat turut giat memperluas liputannya dan mendidik pengguna mengenai cara menggunakan aplikasi e-dompet itu.

“Kami juga menggalakkan peniaga untuk mendaftar supaya mereka boleh memanfaatkan 70 juta pengguna berdaftar dan 1.2 juta titik sentuh kami,” katanya dalam program ‘The Nation’ yang dihoskan Jessy Chahal bagi mengupas tajuk ‘ePemula: A Good Start’ terbitan Bernama TV pada Isnin.

Beliau berkata usaha pihaknya adalah selari dengan pendekatan kerajaan dalam memacu ekonomi digital.

“Kami mahu generasi akan datang memperoleh manfaat daripadanya. Peranan kami adalah menyokong (usaha ke arah) tanpa tunai,” katanya.

Program ePemula yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2022 dengan peruntukan RM300 juta itu menyediakan kredit e-dompet RM150 kepada kira-kira dua juta rakyat Malaysia berumur 18 hingga 20 tahun.

Selain itu, penuntut sepenuh masa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari peringkat diploma ke atas layak menyertai program tersebut.

Individu yang memenuhi syarat kelayakan boleh mendapatkan kredit melalui satu daripada empat perkhidmatan e-dompet rasmi ePemula iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay atau TNG eWallet.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan