BELANJAWAN 2024

THINK CITY MEMPERUNTUKAN RM10 JUTA BAGI PEMBANGUNAN EKONOMI DI UTARA MALAYSIA

11/04/2022 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Think City Sdn Bhd mengumumkan peruntukan RM10 juta untuk meningkatkan pembangunan ekonomi berasaskan budaya di Utara Malaysia Utara sebagai sebahagian daripada inisiatif Bajet 2022 dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MoF).

Think City dalam satu kenyataan hari ini berkata : "Program Geran Pemangkin Ekonomi Budaya akan memanfaatkan warisan arkeologi Malaysia sebagai pemboleh bagi penjanaan semula pertumbuhan sosio-ekonomi serta pembangunan budaya masyarakat kerana ia akan mewujudkan peluang pekerjaan dan pelaburan.

“Ini adalah selaras dengan objektif program Pembangunan Ekonomi Tempatan & Rangkaian Pelancongan Arkeologi Wilayah Utara, sebuah inisiatif Think City di bawah naungan MoF.”

Katanya, warisan arkeologi Malaysia berpotensi besar untuk dikembangkan sebagai destinasi arkeologi antarabangsa dengan kemungkinan penemuan lanjut serta peluang bagi memaparkan tapak bersejarah dan budaya kawasan itu.

Menyedari kepentingan rantau ini, usaha oleh Think City bersama MoF dengan sokongan kerajaan negeri serta kerajaan tempatan akan menggalakkan penerokaan dan penemuan tapak arkeologi di sepanjang koridor budaya utara Malaysia.

Potensi itu juga akan mengaktifkan sumber pembangunan masyarakat setempat, merangsang pelancongan berasaskan budaya, perusahaan komuniti, kepentingan awam dan meningkatkan pelancongan arkeologi Malaysia.

Pengarah Urusan Hamdan Abdul Majeed berkata Think City mahu memperkasakan masyarakat untuk menguasai sejarah bersama mereka serta menterjemahkannya ke dalam modal sosial, ekologi dan kewangan yang dapat mengekalkan generasi yang akan datang.

“Pembangunan ekonomi berasaskan budaya adalah salah satu daripada bidang utama yang menjadi fokus Think City.

“Kami yakin pelaburan dalam warisan arkeologi akan menarik orang awam dan pihak berkepentingan menjadi program penyertaan pelbagai aktiviti, yang terdiri daripada bukan hanya satu tetapi banyak rangkaian yang dihubungkan di sepanjang koridor kebudayaan Utara,” katanya.

Di samping itu, program ini bertujuan untuk mencapai aspirasinya melalui tiga bidang iaitu Advokasi & Pembangunan Kapasiti, yang menampilkan amalan terbaik untuk meningkatkan keunggulan serta daya tarikan aset di rantau ini dan inisiatif penciptaan kandungan dalam meningkatkan pengalaman pengunjung disamping mewujudkan kesedaran di rantau sebelah utara.

Geran program itu akan ditutup pada 22 Mei 2022. Untuk maklumat lanjut sila lawati https://www.thinkcity.com.my/budaya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan