BELANJAWAN 2025 > BERITA

Graduan Pembina Tamadun Unggul, Galas Tanggungjawab Sebagai Pemimpin Muda – Agong

02/12/2025 12:10 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Graduan diingatkan supaya tidak leka dalam mengharungi arus kemodenan dan terlibat dalam perkara tidak sihat, titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda bertitah sebaliknya, mereka perlu meletakkan diri sebagai pembina tamadun yang unggul dengan menggunakan ilmu yang diperoleh untuk kemajuan ummah dan menggalas tanggungjawab menjadi pemimpin muda.

“Pada hemat saya, ilmu yang diperoleh di universiti ialah amanah yang harus dikembalikan semula kepada masyarakat dan negara. Ilmu bukan sekadar untuk kemajuan diri sendiri. Yang lebih penting ialah cara ilmu tersebut digunakan untuk kebaikan semua.

“Hal ini kerana sejarah tamadun Islam telah membuktikan bahawa ilmu boleh membawa umat daripada kejahilan kepada cahaya kebenaran,” titah Sultan Ibrahim ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong bertitah negara menaruh harapan agar graduan boleh menjadi pemimpin muda yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, tetapi turut memiliki nilai integriti dan dedikasi untuk berkhidmat kepada negara.

Sehubungan dengan itu, mereka perlu menggunakan ilmu yang ada dengan sebaik-baiknya dan menjadi seorang pemimpin muda yang berguna kepada negara.

“Jangan sekali-kali para graduan menghampakan harapan ibu bapa dan melakukan perkara yang boleh meruntuhkan jati diri negara,” titah Sultan Ibrahim selaku Canselor UPNM yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua graduan dan doa agar UPNM terus maju sebagai universiti pertahanan utama di rantau ini.

Turut hadir pada istiadat konvokesyen itu ialah Pro-Canselor UPNM Laksamana Tan Sri (B) Mohd Anwar Mohd Nor, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Sebanyak 1,011 graduan merangkumi 24 penerima doktor falsafah, 54 ijazah sarjana, 783 ijazah sarjana muda dan 149 diploma diraikan pada istiadat konvokesyen hari ini.

Daripada jumlah itu, 15 graduan merupakan penerima Program Siswa Sulung, inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi untuk meningkatkan mobiliti sosial keluarga B40.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan