BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hab Industri Rel Akan Dibangunkan Di Hulu Selangor - MB

14/11/2025 05:54 PM

SHAH ALAM, 14 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan membangunkan hab industri rel di Hulu Selangor bagi pembinaan komponen tren dan penyelenggaraan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari. 

Beliau berkata cadangan pembangunan itu bertujuan memastikan Selangor tidak terlalu bergantung kepada pembelian teknologi dari luar negara susulan sebahagian besar industri rel Malaysia terletak dan beroperasi di hampir seluruh Lembah Klang. 

Amirudin berkata pembangunan berkenaan akan diusahakan melibatkan pihak industri, akademia serta operator rel yang berpengalaman dalam bidang berkenaan.

“Sehingga kini, syarikat-syarikat di Selangor sudah mula mengusahakan pembuatan lokomotif untuk tujuan penggunaan jaringan Transit Aliran Massa (MRT) serta eksport ke luar negara seperti SMH Rail.

“Syarikat ini merupakan satu-satunya kilang pembuatan di luar Eropah yang menerima pengiktirafan dan pensijilan oleh Siemens,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini. 

Amirudin berkata bagi industri automotif, kerajaan negeri berhasrat membangunkan Automotive Valley di Serendah dan Lembah Beringin sebagai kawasan yang akan memberi tumpuan kepada kenderaan jana kuasa konvensional seperti petrol, diesel, hibrid, serta tenaga elektrik.

Beliau berkata lokasi itu dipilih susulan pelaburan Chery bernilai RM2.2 bilion pada tahun ini bagi membangunkan Chery Smart Auto Industrial Park di Lembah Beringin yang berpotensi mengeluarkan sehingga 300,000 unit kenderaan setahun apabila semua fasa siap dibangunkan bagi tujuan penggunaan dalaman serta eksport.

“Malah, kawasan ini terletak berhampiran dengan kilang utama syarikat kenderaan tanah air iaitu Proton dan Perodua serta syarikat antarabangsa Nissan, dan dasar-dasar strategik untuk membangunkan keseluruhan rantaian bekalan akan diusahakan oleh kerajaan negeri menerusi Invest Selangor,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan