BELANJAWAN 2025 > BERITA

BNM Optimis Malaysia Terus Terima Aliran Masuk FDI Pada 2026 

14/11/2025 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) optimis Malaysia akan terus menerima aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang stabil pada 2026.

Timbalan Gabenor BNM Marzunisham Omar berkata beberapa faktor dijangka menyokong aliran masuk FDI yang berterusan ke negara ini walaupun ketidaktentuan global yang masih lagi tinggi.

"Perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) telah memberikan kepastian yang lebih jelas untuk Malaysia, dan ini (memberikan) petanda baik bagi pelabur yang ingin menjalankan pelaburan baharu atau mengembangkan pelaburan mereka di negara ini.

“Selain itu, kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global, terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor (yang terus diperkukuh), di sinilah terdapat banyak permintaan dan peningkatan pengeluaran,” katanya pada sidang akhbar bersama sempena pengumuman prestasi keluaran dalam negara kasar suku ketiga 2025 Malaysia hari ini.

Beliau berkata inisiatif pembaharuan berterusan kerajaan, usaha mewujudkan ekosistem perniagaan yang kondusif dan langkah-langkah untuk memenuhi permintaan tenaga kerja mahir turut menyumbang kepada daya tarikan Malaysia sebagai destinasi produktif untuk FDI.

“Sudah tentu, persekitaran global merupakan faktor yang akan mempengaruhi aliran FDI, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata industri pusat data telah berkembang dengan pesat dan merupakan antara penyumbang FDI terbesar negara pada masa ini.

“Terdapat petanda pusat data telah mula menyumbang kepada eksport perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Malaysia.

“Antara tempoh Januari dan September 2025, eksport perkhidmatan pusat data berjumlah RM10.7 bilion, jauh lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Rasheed berkata kejayaan itu bukan sekadar mencerminkan angka semata-mata tetapi juga tentang memastikan pelaburan ini mewujudkan manfaat jangka panjang untuk negara.

Menurutnya, pusat data memerlukan sumber tenaga dan air yang besar, meskipun bilangan pekerjaan langsung yang sedikit.

“Kunci untuk memaksimumkan limpahan daripada pusat data terletak pada strategi dan pelaksanaan dasar yang berkesan, dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan ekonomi untuk membangunkan industri dalam ekosistem pusat data.

“Ini termasuk menguruskan kesan luaran daripada penggunaan sumber dan tekanan akaun semasa melalui pengurusan sumber yang mampan dan mengurangkan kebergantungan import serta membangunkan bakat yang dilengkapi dengan kemahiran berkaitan industri untuk persediaan masa hadapan,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan