BELANJAWAN 2025 > BERITA

PRN Sabah: Semua 25 PPC Siap Sedia Menjelang Hari Penamaan Calon Esok

14/11/2025 06:27 PM

KOTA KINABALU, 14 Nov (Bernama) -- Kesemua 25 pusat penamaan calon (PPC) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 siap sedia sepenuhnya untuk menghadapi hari penamaan calon esok, melibatkan pertandingan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 

DI PUTATAN, Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun meluangkan masa kira-kira sejam meninjau persiapan di Dewan Sri Putatan yang juga PPC bagi DUN Tanjung Keramat, Tanjung Aru serta Petagas. 

Ketika ditemui pemberita, beliau berkata persiapan rapi telah dibuat di semua PPC termasuk daripada aspek logistik, capaian Internet dan latihan kepada pegawai pengurus (RO).

“Alhamdulillah, berdasarkan perhatian saya tadi, proses raptai berjalan lancar dan kita telah pun bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan proses penamaan calon di 73 DUN di seluruh negeri Sabah,” katanya.

Di TAWAU, Penolong Pegawai Pengurus Pentadbiran Parlimen Tawau Jonah Pitah berkata persiapan di Dewan Masyarakat Tawau yang menjadi PPC bagi DUN Balung, Apas dan Sri Tanjong berjalan lancar.

"Persiapan berkaitan gerak kerja, kemudahan dan soal keselamatan juga dilaksanakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut membantu pihak pengurus P190 Tawau mengawal lalu lintas dan menjaga keselamatan di luar dewan," katanya.

Beliau berkata Jabatan Penerangan, Jabatan Air termasuk Sabah Electricity turut membantu memastikan perjalanan hari penamaan calon esok dalam keadaan baik.

Di KINABATANGAN, persiapan akhir bagi proses penamaan DUN Kuamut, Lamag dan Sukau berjalan lancar, melibatkan kira-kira 40 petugas SPR.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Yuseri Ismail Yusof berkata raptai penuh yang dijalankan pada 10 pagi tadi berjalan lancar sekali gus memastikan kelancaran proses penamaan calon pada esok.

“Kami telah membuat persiapan seminggu lebih awal dan segala keperluan disiapkan dengan rapi. Esok, kami akan memastikan situasi di kawasan sekitar dewan terkawal.

“Saya yakin proses penamaan calon dapat dijalankan dengan jayanya. Petugas SPR akan berada di dewan seawal 7 pagi, manakala calon dinasihatkan untuk hadir antara 9 hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superitendan Ravi Duraisamy berkata pihaknya telah memberikan taklimat dan penerangan kepada wakil calon untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan.

SPR menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala 25 Nov bagi pengundian awal. 

Mengikut statistik SPR, 1,784,843 pengundi yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini.

Untuk berita terkini mengenai PRN Sabah ke-17,sila  layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

Di SEMPORNA, Pegawai Daerah Semporna Mas Syazwan Masood yang juga Pegawai Pengurus Pilihan Raya Semporna berkata sebanyak 34 set borang penamaan calon dijual setakat ini di pejabat RO.

“Jumlah (34) borang itu, kadang-kadang seorang calon akan membeli dua hingga tiga borang. Sekiranya borang pertama ada masalah, ada borang ganti,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan simulasi bagi hari penamaan calon di Dewan Arena Masyarakat Semporna di sini hari ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna DSP Jaafar Hakim berkata hampir 300 anggota daripada pelbagai unit akan bertugas pada hari penamaan esok.

Beliau berkata setiap penyokong parti hanya dibenarkan berada di padang bandaran Semporna dan mereka akan diasingkan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan