BELANJAWAN 2025 > BERITA

Projek Mitigasi Banjir Di Daerah LMS Siap Penghujung Nov

13/11/2025 07:55 PM

TAIPING, 13 Nov (Bernama) -- Enam projek mitigasi banjir yang giat dilaksanakan di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung bulan ini. 

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak Dr Asnor Muizan Ishak berkata projek bernilai RM1.2 juta melalui peruntukan khas kerajaan pusat itu melibatkan kerja mendalamkan kolam takungan dan sungai serta pembinaan ban banjir bagi mengurangkan risiko banjir di beberapa kawasan berisiko.

“Projek ini turut menerima dana tambahan berjumlah RM400,000 daripada kerajaan negeri, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan RM1.6 juta, yang digunakan bagi melaksanakan kerja pascabanjir susulan kejadian pada 23 Okt lepas. 

“Secara keseluruhan, kerja di lapangan kini mencapai tahap akhir dan ia merupakan langkah jangka pendek yang kita laksanakan bagi mengurangkan risiko banjir seperti yang berlaku baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Lawatan Tapak Kerja Kecemasan Banjir JPS Daerah LMS di sini hari ini, yang turut dihadiri Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Neow Choo Seong.

Asnor Muizan turut menasihatkan penduduk supaya menjaga struktur ban (benteng) dan kolam takungan yang telah dibina bagi mengelakkan kerosakan akibat aktiviti manusia yang boleh menjejaskan keberkesanan fungsi kawalan air.

“Kita minta semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kebersihan dan kelancaran aliran air di kawasan yang telah dilaksanakan langkah mitigasi ini. Antara punca utama banjir kilat ialah sumbatan ranting, sampah sarap dan bahan terapung yang tersangkut di kawasan aliran air,” katanya.

Sementara itu, Neow berkata lawatan itu dilakukan bertujuan menilai kemajuan pelaksanaan projek yang diselenggarakan oleh pihak JPS.

Beliau berkata pihaknya juga telah meminta JPS menyediakan kajian dan permohonan tambahan bagi projek jangka sederhana dan panjang supaya penyelesaian lebih menyeluruh dapat dilaksanakan.

“Kita tidak mahu langkah sementara ini menjadi sia-sia. Apa yang penting ialah kesinambungan projek susulan agar seluruh sistem saliran sungai dapat dipulihkan sepenuhnya dan risiko banjir dapat dikurangkan secara berperingkat,” katanya.

Pada 24 Okt lepas, Neow ketika melawat sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di sini berkata peruntukan RM1.2 juta disalurkan susulan sesi lawatan oleh Fadillah ke Taiping pada 3 Okt lepas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan