KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Sumbangan besar mendiang Tan Sri Tiong Hiew King dalam memajukan industri media dan pembangunan ekonomi negara akan terus dikenang, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang di Dewan Rakyat hari ini, Teo turut menzahirkan penghargaan atas jasa dan sumbangan Pengerusi Kehormat Media Chinese International Ltd itu.
“Sebelum saya mulakan jawapan saya, izinkan saya mengambil sedikit masa untuk merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada keluarga mendiang Tan Sri Tiong Hiew King atas pemergian beliau,” katanya sebelum menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) pada sesi soal jawab lisan.
Beliau berkata kepimpinan mendiang telah menyaksikan media Cina berkembang sebagai antara kumpulan media paling berpengaruh di rantau ini, dengan penerbitan utama seperti Sin Chew Daily, China Press, Nanyang Siang Pau dan Asia Weekly (Yazhou Zhoukan) yang meraih jutaan pembaca di pelbagai negara.
“Sumbangan mendiang dalam memajukan sektor media dan memperkukuh ekonomi tempatan amat besar, dan akan terus dikenang sebagai legasi berharga.
“Semoga keluarga mendiang dan rakan-rakan media di bawah Media Chinese International Ltd dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat kehilangan ini,” katanya.
Taikun balak dan media Sarawak itu meninggal dunia semalam pada usia 90 tahun.
Tiong turut dikenali sebagai pengasas Rimbunan Hijau Group, sebuah konglomerat yang memulakan perniagaan dalam sektor pembalakan sebelum berkembang ke pelbagai bidang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial