BATU KAWAN, 20 Julai (Bernama) -- Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung meriah di pekarangan Stadium Batu Kawan sejak Khamis bakal melabuhkan tirai hari ini.
Selepas empat hari berkampung, hari terakhir sambutan masih hangat dengan pelbagai pengisian menarik yang telah disusun bermula seawal 6.30 pagi menerusi aktiviti sihat zumba dan senam seni.
Ia kemudian akan diteruskan dengan Larian Kembara Ilmu dan Fun Run Unity sebelum pertandingan peragaan busana tradisional pelbagai kaum bermula 9 pagi di pentas utama.
Buat pengunjung cilik, persembahan muzikal ‘Didi & Friends’ diadakan dalam dua sesi pada 12 tengah hari dan 2 petang dengan mereka turut berpeluang bertemu serta beramah mesra dengan maskot siri animasi kesukaan kanak-kanak itu.
Peminat seni dan budaya pula boleh hadir ke pentas utama bermula 4 petang bagi menyaksikan pertandingan boria terbuka, di samping pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat yang turut disajikan di pentas mini foodunites, usahawan, Rumah KAMI (rumah etnik) dan pentas mini reruai.
Antaranya pertandingan teka rempah-ratus, persembahan busana klasik dan taklimat keusahawanan, malah pengunjung juga boleh melihat demonstrasi pakaian dan persembahan etnik bagi mengenali lebih mendalam mengenai keunikan etnik di negara ini.
Orang ramai masih berpeluang menyertai kemeriahan edisi ketiga SMP Peringkat Kebangsaan yang akan melabuhkan tirai secara rasminya pada 6 petang hari ini. Penganjuran pada edisi lepas berlangsung di Johor Bahru dan di Kuching pada 2023.
Bertemakan "Harmoni Dalam Kepelbagaian", SMP 2025 menampilkan lebih 40 aktiviti utama lain antaranya 22 Pameran Rumah KAMI, Pameran Perkampungan Rumah Etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli, Foodunites, Pameran Malaysia Tanah Airku, sukan tradisional, Jualan Usahawan Perpaduan, pertandingan boria serta persembahan kebudayaan.
Sempena minggu perpaduan itu juga, pelbagai perkhidmatan secara terus kepada rakyat disediakan termasuk diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), serta pengurangan kompaun pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan lebih 250,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang, agama dan budaya memeriahkan SMP 2025 yang terbukti menjadi medan terbaik dalam menyatupadukan rakyat Malaysia.
Sambutan berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial