KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan digesa memperkenalkan sijil khas untuk jururawat dialisis bagi memperkukuh petugas kejururawatan dan meningkatkan kualiti penjagaan pesakit di seluruh negara.
Pengerusi Yayasan Amal Maaedicare Tunku Datuk Yaacob Khyra berkata sijil khusus itu berupaya menangani masalah kekurangan jururawat dialisis serta membantu mengurus kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat.
Beliau mencadangkan pelaksanaan program latihan selama dua bulan secara berstruktur bagi melengkapkan jururawat dengan kemahiran khusus dalam rawatan dialisis.
“Dengan pensijilan itu, saya yakin jururawat dialisis boleh memperoleh gaji lebih tinggi berbanding jururawat am, sebagai pengiktirafan terhadap peranan khusus mereka,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam amal tahunan Maaedicare di sini malam tadi.
Beliau berkata sijil berkenaan juga membolehkan jururawat pesakit buah pinggang yang menjalani latihan lanjutan selama enam bulan menumpukan kepada tugasan klinikal lebih kompleks seperti prosedur bilik bedah sekali gus memastikan kepakaran mereka dimanfaatkan dengan lebih berkesan.
Yaacob turut menekankan bahawa kebanyakan jururawat untuk pesakit buah pinggang yang telah dibiayai oleh majikan untuk menjalani latihan memilih untuk berhijrah ke luar negara bagi mendapatkan peluang lebih baik, khususnya ke Timur Tengah.
“Struktur latihan berperingkat yang membezakan peranan jururawat dialisis dan jururawat untuk pesakit buah pinggang akan membantu mengurangkan kesan kewangan akibat kehilangan petugas terhadap sistem kesihatan,” katanya.
Majlis itu diserikan dengan keberangkatan Penaung Yayasan Amal Maaedicare Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Turut berangkat Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal Maaedicare Anne Rajasaikaran.
Majlis kutipan dana itu berjaya mengumpul RM600,000 dalam bentuk sumbangan tunai dan barangan.
Hasil kutipan akan disalurkan kepada 11 pusat dialisis, menaik taraf keupayaan diagnostik di Pusat Diagnostik Jantung serta memperluas saringan kesihatan percuma melalui dua Klinik Amal Percuma di seluruh negara.
Sejak ditubuhkan pada 1994, yayasan itu telah menyediakan rawatan dialisis bersubsidi kepada lebih 32,000 pesakit dan terus memperluas akses kepada perkhidmatan jantung serta saringan perubatan percuma kepada komuniti rentan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial