MELAKA, 18 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka memfokuskan kepada pemeriksaan lima barangan keperluan isi rumah dalam pelaksanaan Op Kesan 4.0 bagi memastikan tiada manipulasi harga membabitkan barangan asas pengguna.
Pengarah KPDN Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata lima barangan itu ialah susu pekat, minuman malt coklat, tepung gandum, sardin dan roti putih yang merupakan barangan keperluan harian pengguna.
“Fokus ini juga sebahagian daripada langkah pemantauan berikutan pelaksanaan semakan dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula 1 Julai.
“Bagi tempoh 1 Julai hingga semalam, sebanyak 35 premis melibatkan 63 unit simpanan stok (SKU) telah diperiksa dan satu notis bertulis dikeluarkan membabitkan tiga SKU termasuk kes tular berkaitan harga ais,” katanya kepada pemberita selepas pemantauan Op Kesan 4.0 di pasar raya di Angkasa Nuri, Durian Tunggal di sini hari ini.
Mohd Hazimin berkata selain pemantauan harga, pihaknya turut memberi perhatian terhadap isu manipulasi kuantiti barangan seperti pengurangan saiz pembungkusan tanpa perubahan harga yang ketara.
“Kadangkala harga kekal, tapi kuantiti berkurangan. Yang penting bukan murah semata-mata, tetapi adil kepada pengguna,” katanya.
Sehubungan itu, pengguna boleh membuat aduan melalui WhatsApp 019-8488000, portal e-aduan (eaduan.kpdn.gov.my) atau pusat panggilan 1-800-886-800, jika berlaku sebarang ketidakpatuhan.
Dalam pada itu, Mohd Hazimin berkata statistik penguatkuasaan KPDN Melaka bagi tempoh 1 Jan hingga 17 Julai merekodkan 234 kes di bawah pelbagai akta dengan nilai rampasan berjumlah RM261,360.
“Jumlah kompaun dikeluarkan ialah RM66,700 manakala denda keseluruhan mencecah RM299,500. Selain itu, 14 individu ditahan membabitkan 13 kes tangkapan untuk siasatan lanjut," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial