Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Prestasi dolar Amerika Syarikat (AS) yang lemah dijangka terus menyuntik manfaat ke atas ringgit serta ekuiti Asia di masa depan selain unjuran keadaan lebih goyah dalam separuh kedua 2025, kata Standard Chartered Bank.
Ahli Strategis Pelaburan Kanan Yap Fook Hien berkata bank itu juga tidak menjangkakan dolar AS akan pulih dalam masa terdekat selepas mengambil kira sebahagian besar faktor kelemahannya.
“Kami berpendapat dolar AS akan lemah bagi tempoh 12 bulan akan datang berikutan faktor kitarannya, malah dijangka terus rendah seiring dengan sasaran kami bahawa Indeks Dolar AS akan susut kepada 96 mata.
“Namun, pada masa sama, adalah penting untuk menyatakan bahawa kami bukannya menjurus kepada kelumpuhan dolar AS. Unjuran kami adalah bagi tempoh 12 bulan dan selepas itu, kami akan meneliti semula pertumbuhan serta kemajuan ekonomi yang berlaku.
“Pada masa ini, kami tidak melihat sebarang kemungkinan untuk dolar AS kembali melantun,” katanya pada sidang media Unjuran Pasaran Global Separuh Kedua 2025 di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Yap berkata bank itu telah mengenal pasti tema perkara yan bakal menjadi keutamaan pelabur bagi tempoh berbaki tahun ini dalam senario penyusutan nilai dolar AS, termasuk kecenderungan pilihan ke atas ekuiti global yang lebih terarah kepada pasaran Asia, kecuali Jepun.
“Kelemahan dolar AS adalah positif bagi ekuiti. Secara asasnya apabila dolar AS lemah, pasaran Asia kecuali Jepun sebaliknya mencatat prestasi lebih baik.
“Dua pasaran pilihan kami adalah ekuiti China dan Korea Selatan,” katanya.
Ketua Pengurusan Pelaburan dan Nasihat Standard Chartered Malaysia Ng Shin Seong berkata beliau percaya ringgit akan terus diniagakan dalam julat 4.20 hingga 4.30 berbanding dolar AS memandangkan sebahagian besar kelemahan dolar AS itu telah diambil kira.
Beliau juga menjangkakan perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia turut menyusut susulan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) selain unjuran Washington menurunkan kadar faedahnya dalam bulan-bulan akan datang.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, Ketua Kekayaan dan Perbankan Runcit Standard Chartered Malaysia Harmander Mahal berkata walaupun berlaku peralihan perdagangan global serta ketegangan geopolitik, ekuiti global kekal memberangsangkan dengan peningkatan lapan peratus hingga 10 peratus setakat ini.
“Ini memaparkan keyakinan berterusan pelabur serta kemunculan semula selera terhadap risiko, khususnya merentasi Asia yang mana pasaran sedang pesat membangun mendapat manfaat daripada aliran masuk modal lebih kukuh serta ketidaktentuan berkaitan mata wang.
“Malaysia terus menunjukkan daya saing dalam ketidaktentuan global. Berikutan itu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan 2025 pada 4.2 peratus dan kemunculan ringgit sebagai mata wang berprestasi lebih baik berbanding dolar AS yang mencerminkan sentimen pelaburan kukuh,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial