BELANJAWAN 2025 > BERITA

Ekspo Rantaian Bekalan Antarabangsa China Ketiga Membuka Tirai

17/07/2025 03:57 PM

BEIJING, 17 Julai (Bernama-CMG) -- Ekspo Rantaian Bekalan Antarabangsa China (CISCE) edisi ketiga membuka tirainya di sini, pada Rabu.

Lebih 1,100 wakil kalangan politik, perniagaan, dan akademik dari lebih 100 negara, wilayah, dan organisasi antarabangsa menghadiri majlis perasmian.

Presiden Majlis Promosi Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT) Ren Hongbin ketika berucap pada majlis perasmian berkata bahawa CISCE edisi ini mempunyai tahap pengantarabangsaan yang lebih tinggi, logik rantaian yang lebih jelas, serta peranan inovasi dan bimbingan yang lebih ketara.

Beliau menyeru ahli-ahli perniagaan dari seluruh dunia supaya berganding bahu dalam menjunjung sikap positif dan mengambil tindakan konstruktif untuk memelihara sistem perdagangan antarabangsa yang berteraskan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Menurut beliau, CCPIT komited untuk berkhidmat kepada perusahaan tempatan dan asing, dengan tegas menjaga kestabilan rantaian perindustrian dan rantaian bekalan sebagai produk awam, supaya memberikan sumbangan lebih besar untuk mempromosikan ekonomi dunia yang terbuka dan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Bertemakan “Menghubungkan Dunia untuk Satu Masa Depan Bersama”, CISCE ketiga akan berlangsung di Beijing dari 16 hingga 20 Julai.

Ekspo kali ini menetapkan enam rantaian utama, iaitu pembuatan canggih, kenderaan pintar, pertanian hijau, tenaga bersih, teknologi digital, dan kehidupan sihat. Sementara itu, zon pameran untuk perkhidmatan rantaian bekalan juga didirikan untuk julung-julung kalinya.

Menurut pihak penganjur CCPIT, sebanyak 651 syarikat dan institusi dari 75 negara dan wilayah menyertai ekspo kali ini. Teknologi, produk dan perkhidmatan terkini dari seluruh rantaian hulu, tengah dan hilir akan dipamerkan.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan