BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tarif AS Boleh Seret Turun Pertumbuhan KDNK ASEAN-5 Kepada 1.5 Peratus Tahun Depan

17/07/2025 02:09 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN-5 dijangka turun kepada 3.0 peratus pada 2025 dan serendah 1.5 peratus pada 2026 sekiranya kesan kumulatif daripada tarif Amerika Syarikat (AS) berterusan, kata ahli ekonomi.

Ahli Ekonomi Bloomberg bagi Asia Tenggara, Dr Tamara Mast Henderson berkata prestasi itu jauh lebih rendah berbanding angka pertumbuhan 4.5 peratus yang dicatatkan pada 2024.

Beliau berkata kesan kumulatif itu meliputi kekurangan aliran pelaburan, eksport yang tidak memberangsangkan serta penurunan keyakinan perniagaan.

ASEAN-5 meliputi Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.

“Lebih banyak kesan gangguan akan timbui daripada pelaburan pada 2025, manakala daripada eksport adalah kurang,” katanya, seperti yang dipetik oleh CIMB Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan pada Rabu.

Beliau berkata pelaburan langsung asing (FDI) pula akan menghadapi persaingan yang lebih sengit di rantau ini.

Ini berikutan AS meningkatkan usaha untuk membawa aktiviti pembuatan dan pengeluaran kembali ke dalam negaranya, dan menyebabkan aliran pelaburan dijangka semakin dialihkan keluar dari Asia Tenggara, katanya.

“Usaha membawa pulang pembuatan dan pengeluaran ini berkemungkinan “menyedut” modal yang sepatutnya masuk ke pasaran Asia yang sedang pesat membangun, sekali gus mencetuskan persaingan yang sukar bagi baki FDI yang tinggal,” katanya.

Henderson menyuarakan kebimbangan sekiranya Malaysia berada dalam kedudukan yang rapuh, memandangkan 7.5 peratus daripada KDNK bergantung kepada eksport ke AS, dan eksport keseluruhan mewakili lebih dua pertiga daripada ekonomi negara.

“Negara ini berdepan tarif sebanyak 25 peratus, dan memandangkan hubungan rapat dengan China -- termasuk beberapa memorandum persefahaman (MoU) serta penyertaan dalam inisiatif berkaitan BRICS -- tarif ini berkemungkinan tidak akan dikurangkan,” katanya.

Selain kejutan perdagangan, pengeluaran minyak mentah Malaysia juga telah menunjukkan penurunan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini merupakan satu faktor negatif tambahan kepada penurunan harga minyak, yang akan menjejaskan hasil kerajaan dan skop sokongan ekonomi domestik.

“Sektor eksport utama Malaysia, iaitu peralatan elektrik, adalah sangat mudah terjejas,” katanya.

Henderson menjangkakan pertumbuhan KDNK Malaysia turun di bawah 4.0 peratus pada 2025, dengan kemungkinan pertumbuhan KDNK menjadi lebih lemah pada 2026 sekiranya tarif tersebut terus dikekalkan.

Bagi AS pula, beliau berkata ekonomi terbesar dunia itu juga dijangka mengalami kesan negatif dari segi ekonomi, kerana regim tarif yang lebih tinggi akan meningkatkan kos input, mengurangkan permintaan domestik dan membawa kepada pertumbuhan KDNK yang lebih lembap.

“Selain itu, tarif tersebut akan menyebabkan keupayaan Rizab Persekutuan untuk menurunkan kadar faedah dalam jangka pendek adalah terhad, sekali gus mewujudkan persekitaran dasar makroekonomi yang sukar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan