Rabu, 25 November 2020
APEC 2020
30/10/2020 05:10 PM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 30 Okt -- Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 Hairil Yahri Yaacob yakin bahawa kesemua 21 negara anggota APEC bersatu dalam usaha mereka merangka kenyataan mengenai Visi Pasca 2020 APEC bulan depan.

Beliau berkata demikian pada ‘APEC Economic Leaders' Week Media Briefing’ yang diadakan secara maya di Singapura hari ini sebagai respons kepada satu soalan mengenai bagaimana Malaysia sebagai tuan rumah dapat memberi jaminan bahawa perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China tidak akan menjejaskan deklarasi APEC tahun ini.

Pemimpin APEC, untuk kali pertama, gagal mencapai kata sepakat pada mesyuarat pada tahun 2018 di Papua New Guinea dalam persekitaran peperangan perdagangan antara AS dan China.

"Apa yang kami lakukan sejak awal tahun ini adalah memulakan pertemuan dan perbincangan, kami telah hampir selesai untuk memberi cadangan kepada semua negara termasuk China dan AS supaya kami dapat mencapai kemajuan dalam penyampaian pada APEC 2020 .

"Justeru, berdasarkan pemerhatian saya sebagai Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan APEC 2020... rundingan ini akan memberi manfaat, ia dapat disaksikan menerusi pencapaian kami setakat ini," kata Hairil.

Beliau berkata Malaysia sedang merangka secara maya untuk beberapa kenyataan peringkat menteri dan setakat ini sudah mengeluarkan sebanyak tujuh kenyataan, ia merangkumi perdagangan, kesihatan, kewangan, wanita, perusahaan kecil dan sederhana, serta kenyataan terbaharu mengenai keselamatan makanan.

Ditanya adakah Malaysia menjangkakan bahawa deklarasi itu akan menjadi kurang mendesak supaya ia dapat diterima negara kuasa besar, Hairil berkata: “Kami tetap boleh keluarkan kenyataan yang menyatakan satu kebenaran walapun mengambil maklum bahawa terdapat ketegangan atau perbezaan antara AS dan China.

"Apa yang lebih penting adalah APEC sebagai sebuah rantau perlu melangkah ke hadapan dalam tempoh ketidaktentuan ketika ini dan saya percaya semua negara akan bersatu untuk mengeluarkan kenyataan mengenai Visi Pasca 2020 APEC

APEC adalah forum melibatkan kerajaan untuk 21 negara anggota APEC yang menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia Pasifik.

Mengenai cadangan China untuk mewujudkan dana untuk kerjasama serantau yang bertujuan untuk memerangi COVID-19 dan membantu dalam pemulihan ekonomi, Hairil berkata: “Daripada pemahaman saya, cadangan ini masih dipertimbangkan, kami sedang menunggu inisiatif ini diluluskan.

"Setakat ini, semua negara telah berusaha untuk menjayakan inisiatif itu dan saya harap ia dapat dimuktamadkan sebelum mesyuarat peringkat Menteri APEC untuk mendapat sokongan. Saya masih menunggu sokongan daripada peringkat jawatankuasa, setakat ini mereka masih mengadakan perbincangan. "

AMM dijadualkan berlangsung pada 16 November depan.

Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mempengerusikan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin APEC pada 20 Novermber ini.

Ini adalah kali kedua Malaysia menjadi pengerusi APEC, pertama adalah pada tahun 1998.

Kali ini akan menjadi bersejarah kerana ia akan menjadi mesyuarat APEC pertama yang akan berlangsung secara maya berikutan pandemik COVID-19.

-- BERNAMA

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan