Rabu, 15 Julai 2020
APEC 2020
23/02/2020 12:58 PM

PUTRAJAYA, 22 Feb -- Mesyuarat Kedua Pegawai Kanan (SOM2) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 yang akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah dari 8 hingga 21 April ini dijangka membincangkan keterangkuman, kemampanan dan ekonomi digital sebagai susulan kepada SOM1.

Pengerusi SOM APEC 2020, Hairil Yahri Yaacob berkata input berkaitan ketiga-tiga elemen itu penting dalam menyediakan draf lengkap Wawasan Pasca 2020.

“Apa yang saya simpulkan daripada sesi khusus yang diadakan pada 19 Feb lepas adalah terdapat konsensus kukuh bahawa perdagangan dan pelaburan amat penting, menjadi nadi utama APEC.

“Namun pada masa sama, elemen keterangkuman, kemampanan perlu ada dalam pernyataan wawasan itu kerana inilah bidang yang kita tidak boleh abaikan,” katanya kepada pemberita selepas berakhirnya SOM1, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC Tan Sri Rebecca Sta Maria.

Hairil Yahri, yang juga Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Antarabangsa) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, berkata walaupun tunjang utama APEC adalah menggalakkan perdagangan dan pelaburan serta mewujudkan perdagangan terbuka dan bebas, namun elemen keterangkuman dan kemampanan juga penting untuk memastikan masa depan generasi akan datang.

Antara bahagian utama SOM2 adalah mesyuarat Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) yang akan dipengerusikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Datuk Darell Leiking.

“Ini merupakan mesyuarat yang amat penting memandangkan semua pegawai kanan akan berbincang secara teliti bersama-sama MRT mengenai apa yang telah mereka lakukan sejak beberapa bulan lepas.

“Diharapkan para menteri akan mengambil perhatian mengenai program, aktiviti dan pelan kerja yang telah kami laksanakan dan itulah yang akan menjadi mesyuarat utama di Kota Kinabalu,” katanya.

Sementara itu, Rebecca berkata para perwakilan menyatakan penghargaan mereka kepada Malaysia atas peranan negara ini sebagai tuan rumah SOM1 dan Mesyuarat Berkaitan yang diadakan sejak 3 Feb lepas.

“Kami menerima maklum balas para peserta, pegawai kanan yang menghadiri pelbagai mesyuarat. Mereka semua memberi penghargaan kepada Malaysia atas peranan sebagai tuan rumah bagi aturan yang dijalankan terutama dalam memastikan keselamatan serta kelancaran penyertaan ahli badan awam dalam mesyuarat tersebut.

“Ini merupakan kali pertama APEC memudahkan penyertaan ahli badan awam dalam mesyuarat, iaitu yang diadakan di Malaysia, -- dari aspek logistik -- manakala dari sudut lebih ketara, pasukan Malaysia bekerja keras memastikan kita berada di landasan bagi menyampaikan mesej utama penting dari APEC, yang berusaha sehingga akhir tahun untuk para pemimpin bertemu malah banyak kerja telah disempurnakan menerusi kepimpinan Malaysia.

“Jadi negara-negara menyatakan penghargaan kepada Malaysia atas kepimpinan dalam kerja dan mengetuai kita semua ke arah matlamat akhir tahun ini,” katanya.

Mengenai perkara berkaitan, Hairil Yahri berkata sepanjang SOM1 dan Mesyuarat Berkaitan, terdapat sejumlah 102 mesyuarat, bengkel, lawatan lapangan dan pelbagai aktiviti.

“Kesimpulan daripada kejayaan SOM1 dan Mesyuarat Berkaitan mencerminkan sinergi kukuh dalam kalangan delegasi APEC untuk merangka dasar berkesan yang menyokong agenda ekonomi dan sosial utama rantau ini,” katanya.

-- BERNAMA


 


 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan