Jumaat, 29 Mei 2020
APEC 2020
03/02/2020 09:53 PM

PUTRAJAYA, 3 Feb -- Mesyuarat Pertama Pegawai Kanan (SOM1) dan mesyuarat berkaitan bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 mula berlangsung hari ini di sini dengan penggubal dasar dan para pegawai bertemu sehingga 22 Feb untuk membincangkan keutamaan agenda bagi rantau ini.

Sekretariat Kebangsaan APEC 2020 menerusi kenyataan hari ini berkata sebanyak 102 mesyuarat, bengkel, aktiviti dan lawatan lapangan telah dijadualkan untuk delegasi oleh pelbagai kementerian dan agensi.

Lebih 1,700 anggota delegasi dari 21 ekonomi telah mendaftar untuk menghadiri mesyuarat berkenaan, menurutnya.

“Perbincangan dalam mesyuarat akan menumpukan pewujudan rancangan kerja bagi jawatankuasa dan kumpulan kerja masing-masing, untuk melaksanakan agenda Kemakmuran Bersama seiring dengan tema APEC 2020,” kata sekretariat itu.

Malaysia menjadi tuan rumah bagi mesyuarat APEC 2020 bertemakan ‘Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan yang Membawa Kemakmuran Bersama’.

Menerusi keutamaan yang telah dikenal pasti, Malaysia merancang menghimpunkan semua negara bagi perbincangan mendalam ke arah menyampaikan hasil substantif dan berkesan untuk APEC 2020, kata sekretariat.

Menurutnya, keutamaan tersebut ialah menambah baik naratif perdagangan dan pelaburan; penyertaaan ekonomi terangkum menerusi ekonomi digital dan teknologi serta memacu kemampanan inovatif,

Sekretariat berkata para pegawai berserta sektor swasta, akan membincangkan isu termasuk mobiliti perniagaan, jaminan makanan, pembangunan mampan, prosedur kastam, penetapan piawaian, kesihatan dan hak cipta harta intelek.

Bagi menguruskan risiko dan ancaman 2019 novel koronavirus, Sekretariat itu berkata ia bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan keselamatan anggota delegasi dan semua pihak yang terlibat dalam mesyuarat tersebut.

Pelbagai langkah keselamatan dan pencegahan diambil termasuk menyediakan cecair pembasmi kuman di pelbagai tempat di lokasi mesyuarat dan penginapan, menyediakan penutup hidung dan mulut pakai buang untuk semua anggota delegasi dan anggota kerja, menurutnya.

Sekretariat juga berkata pihaknya menyediakan termometer tanpa sentuh untuk memerika suhu badan di semua kaunter maklumat.

-- BERNAMA

 

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan