Khamis, 28 Mei 2020
APEC 2020
21/01/2020 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan -- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dijadualkan bertemu dan berbincang mengenai isu-isu perdagangan dua hala dan pelaburan dengan rakan sejawatnya dari Switzerland, Turki dan Palestin di Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2020 di Davos.

Beliau juga akan menemui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat-syarikat multinasional seperti ABB Switzerland, Dassault Systemes, DP World, Novartis, Festo AG, Jumeirah Group, Micron, Standard Chartered dan Yidu Cloud untuk membincangkan mengenai potensi aktiviti perniagaan di Malaysia.

Darell mewakili Malaysia pada WEF selama empat hari yang bermula hari ini. Tema utama pada tahun ini ialah “Stakeholders for a Cohesive and Sustainable World”, menurut kementerian itu dalam kenyataan.

Dalam pelbagai libat urus yang dijadualkan di Davos, menteri akan berkongsi pengalaman Malaysia mengenai Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), ASEAN dan inisiatif di bawah Jalur dan Laluan serta memberikan perspektif Malaysia mengenai cabaran global, serantau dan industri pada masa ini.

“Malaysia juga akan mengambil peluang untuk memberi penekanan mengenai dasar dan persekitaran negara yang mesra perniagaan untuk menarik pelaburan,” katanya.

WEF, organisasi bebas antarabangsa untuk kerjasama awam-swasta itu, telah ditubuhkan lima dekad yang lepas dengan misi untuk meningkatkan keadaan ekonomi dunia.

Mesyuarat tahunan itu, pada amnya diadakan pada Januari, menghimpunkan pemimpin perniagaan utama dunia, ahli politik, ahli akademik dan pemimpin masyarakat untuk membincangkan mengenai isu-isu global utama yang memberi kesan kepada ekonomi dunia dan memberikan cadangan dan pelan untuk menangani cabaran itu.

Lebih 2,500 peserta termasuk kira-kira 300 ketua negara/kerajaan dan wakil kerajaan serta 1,500 pemimpin korporat global dijangka menghadiri acara itu.

Selain forum itu, Darell turut mewakili Malaysia pada Pertemuan Peringkat Menteri Tidak Formal di Pertubuhan Perdagangan Dunia yang dianjurkan oleh Switzerland.

Menteri-menteri dijangka berkongsi pandangan dan dialog mengenai cabaran yang dihadapi oleh sistem perdagangan pelbagai hala.

-- BERNAMA

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan