Isnin, 25 Mei 2020
APEC 2020
13/01/2020 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan -- Malaysia memulakan peranan sebagai tuan rumah Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 di Putrajaya apabila pendaftaran media kini dibuka untuk Mesyuarat Pegawai Kanan Pertama APEC (SOM1) dan mesyuarat berkaitan yang akan berlangsung di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu mulai 3 hingga 22 Feb ini.

Hampir 1,500 penggubal dasar, peneraju perniagaan dan ahli akademik dari 21 negara APEC akan berhimpun untuk membincangkan dan memajukan agenda dasar bagi isu yang mendesak di rantau ini di dalam era digital, termasuk multilateralisme, perdagangan dan pelaburan, pembangunan modal insan serta kemampanan.

“Pelbagai forum akan diadakan di sini, berpandukan tema ‘Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Kemakmuran Bersama’, untuk menumpukan keutamaan tahun ini: menambah baik naratif perdagangan dan pelaburan; penyertaaan ekonomi terangkum menerusi ekonomi digital dan teknologi; memacu kemampanan inovatif,” menurut Sekretariat APEC dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) APEC 2020, Hairil Yahri Yaacob berkata Kemakmuran Bersama merupakan idea yang menumpukan usaha mewujudkan perdagangan dan pelaburan yang lebih terangkum, mampan, inovatif dan terjamin.

Beliau berkata ini memandangkan kerjasama serantau ini boleh meraih manfaat dengan mengurangkan ketidaksamaan di dalam lingkungan dan antara ekonomi.

Ekonomi APEC, yang menyumbang 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar global, berperanan penting dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi dunia.

APEC, diwujudkan pada 1989, turut menandakan permulaan era baharu pada 2020 apabila ia memuktamadkan visi yang diperbaharu bagi dekad-dekad yang akan datang.

“30 tahun lepas telah membuktikan bahawa kerjasama serantau ini perlu menangani cabaran bersama. APEC lebih kukuh apabila kita menyokong di antara satu sama lain untuk bangkit mengatasi semua kelemahan bersama,” kata Pengarah Eksekutif, Sekretariat APEC, Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria.

Wakil media kini boleh mendaftar bagi SOM1 dan mesyuarat berkaitan menerusi https://drs.myapec2020.my/media-register?code=sYe2e2ZKKC sebelum pendaftaran ditutup pada 31 Jan, 2020.

Semua wakil media perlu memiliki akreditasi dan memakai pas berkenaan pada setiap masa untuk memperoleh akses kepada tempat mesyuarat, kemudahan dan acara khusus yang terbuka kepada media.

-- BERNAMA

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan