Isnin, 25 Mei 2020
APEC 2020
10/01/2020 03:27 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan -- Kerjasama lebih kukuh penting untuk Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) sebagai ekonomi menangani ketidaksamaan, isu alam sekitar dan ekonomi digital, yang merupakan antara cabaran kritikal di rantau ini, kata Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Tan Sri Dr Rebecca Sta Maria.

Beliau berkata ekonomi digital boleh menggalakkan kewujudan peluang yang dapat mengurangkan ketidaksamaan.

“Cabaran terbesar dalam hidup kita -- ketidaksamaan, isu alam sekitar dan ekonomi digital -- saling berkait rapat.

“Apabila dimanfaatkan secara bertanggungjawab, pendigitalan boleh menyamakan tahap persaingan bagi perniagaan kecil dan kumpulan yang terpinggir secara tradisional,” katanya di San Francisco semasa lawatan ke Amerika Syarikat untuk memperkukuh kerjasama dengan komuniti teknologi.

Beliau berkata manfaat ekonomi daripada kerjasama antara satu sama lain dan perkongsian amalan terbaik oleh sektor swasta diperlukan untuk menyediakan maklum balas dasar yang bersesuaian.

APEC bertemu dan mengadakan perbincangan termasuk dengan The Asia Foundation, LinkedIn, Pusat Revolusi Perindustrian Keempat - Forum Ekonomi Dunia serta Bay Area Council Economic Institute.

Satu perkara yang berulang adalah keperluan mendesak bagi menambah kemahiran dalam kalangan penduduk APEC untuk masa depan digital selain mengurangkan jurang jantina dalam sektor teknologi.

Anugerah Kemakmuran Digital APEC, yang disokong oleh The Asia Foundation dan Google, menjadi platform untuk menyerlahkan usahawan teknologi wanita yang berbakat.

Pada 2019, dua pengatur cara perisian wanita dari Malaysia menerima hadiah utama anugerah itu.

Anugerah tersebut dan APEC App Challenge bertujuan memperkasakan rakyat dan memperluas peluang untuk syarikat kecil, yang merangkumi 95 peratus daripada perniagaan di Asia-Pasifik.

“Perniagaan kecil memacu ekonomi di seluruh rantau ini. The Asia Foundation berharap dapat meneruskan kerjasama dengan APEC bagi membuka dunia untuk usahawan rantau ini ke arah mencapai pertumbuhan yang lebih inklusif,” kata Presiden The Asia Foundation, David Arnold.

Bagi tujuan membantu meningkatkan penyertaan wanita dalam teknologi, Economic Graph oleh LinkedIn baru-baru ini telah menyediakan laporan mengenai jurang kemahiran digital di rantau ini.

Di seluruh APEC, wanita menyumbang hanya 20 peratus profesional dalam bidang kecerdasan buatan (AI), walaupun AI semakin meluas di dalam industri bukan teknologi.

“Memahami jurang gender di dalam teknologi boleh membantu pembuat keputusan di peringkat kerajaan dan perniagaan melabur dalam latihan kemahiran untuk mewujudkan tenaga kerja yang lebih seimbang,” kata Pengarah Perkongsian Dasar Global, Linkedln, Nate Williams.

Rebecca akan meneruskan lawatannya ke San Diego untuk bertemu dan berbincang bersama-sama komuniti perniagaan AS mengenai peranan sektor swasta dalam menangani cabaran yang semakin sukar terhadap liberalisasi ekonomi.

Malaysia merupakan tuan rumah bagi mesyuarat APEC 2020.

-- BERNAMA

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan