Isnin, 25 Mei 2020
APEC 2020
13/12/2019 06:22 PM

KUALA LUMPUR, 13 Dis -- Kajian yang dijalankan oleh Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik (PECC) menunjukkan komuniti serantau optimis mengenai prospek pertumbuhan Asia Tenggara pada tahun depan, didorong oleh forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.

Setiausaha Agung PECC Eduardo Pedrosa berkata terdapat momentum yang kukuh terhadap integrasi serantau dalam komuniti ekonomi ASEAN dan jangkaan mengenai lencongan perdagangan.

“Kajian itu menunjukkan sebanyak 42.2 peratus daripada 627 pakar dasar serantau yakin mengenai prospek Asia Tenggara.

“Berdasarkan APEC 2020 akan dianjurkan oleh Malaysia, yang merupakan hab kepada Asia Tenggara, negara itu dijangka bergerak maju dengan cepat walaupun ekonomi global mungkin menghadapi kemerosotan,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan laporan State of the Region tahunan ke-14 bagi 2019-2020 di sini hari ini.

Kajian itu juga mendapati sebanyak 31.6 peratus daripada responden menjangka pertumbuhan ekonomi di China lebih kukuh selepas Asia Tenggara, diikuti Jepun (16.2 peratus) dan Amerika Syarikat (AS) (16.2 peratus).

Laporan itu turut menunjukkan hanya 9.3 peratus daripada responden menjangka ekonomi global akan mengukuh pada tahun depan dengan 67.9 peratus menjangka pertumbuhan yang lemah.

Bagaimanapun, Pedrosa berkata kerajaan sedang mengambil langkah-langkah untuk mengatasi kelembapan melalui langkah-langkah rangsangan yang penting, terutamanya pengurangan kadar faedah.

Pedrosa berkata pakar dasar serantau turut menjangka dasar perlindungan dan perang perdagangan yang meningkat sebagai risiko utama kepada pertumbuhan di Asia Pasifik, diikuti kemungkinan pertumbuhan perdagangan dunia yang lembap, ekonomi AS dan China yang lembap dan kekurangan kepimpinan politik.

Laporan itu juga meneliti pelbagai isu termasuk pendidikan untuk menggalakkan pertumbuhan berorientasikan rakyat ke arah kemampanan.

“Pendidikan terutamanya meningkatkan kemahiran merupakan isu paling penting, dengan 86 peratus daripada responden mengklasifikasikan pendidikan dan strategi latihan untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja sebagai keutamaan,” katanya.

Menurut laporan itu, sebanyak 83 peratus daripada responden menekankan keupayaan APEC untuk menyediakan platform bagi dialog dan kerjasama yang berkesan dalam kalangan negara-negara anggota, manakala 68 peratus menyatakan APEC sama pentingnya semasa ia diwujudkan.

“Hanya 26 peratus bersetuju bahawa negara-negara membangun dan perindustrian APEC telah memenuhi Matlamat Bogor untuk mencapai perdagangan bebas dan terbuka di Asia Pasifik, manakala 37 peratus tidak bersetuju,” katanya.

-- BERNAMA

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan