Isnin, 25 Mei 2020
APEC 2020
11/12/2019 09:08 PM

LANGKAWI, 11 Dis  -- Mesyuarat Pegawai Kanan Tidak Rasmi (ISOM) yang berakhir hari ini menerima maklum balas yang positif daripada para peserta dalam menentukan wawasan baharu untuk Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), memandangkan Matlamat Bogor akan memasuki fasa penilaian akhir pada 2020.

Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan APEC 2020 (SOM) Hairil Yahri Yaacob berkata, pegawai-pegawai  kanan ini perlu mengemukakan prinsip panduan bagi menentukan bentuk wawasan yang akan memandu ekonomi APEC selepas 2020.

"Kami menerima banyak maklum balas daripada penglibatan dengan pihak-pihak berkepentingan. Tanpa mereka, sukar bagi APEC untuk menghasilkan dokumen yang sangat mantap yang boleh memacu kemajuan dalam perintegrasian ekonomi serantau di kalangan ekonomi APEC.

"Dari segi kebimbangan, saya tidak menerima apa-apa komen atau kebimbangan yang negatif. Mereka sangat gembira kerana Malaysia merangkumkan semua hal-hal yang inklusif, kemampanan, perlindungan alam sekitar termasuk mendalamkan lagi integrasi ekonomi serantau," katanya kepada media selepas mempengerusikan ISOM di sini hari ini. 

Turut hadir adalah Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Tan Sri Dr. Rebecca Fatima Sta Maria. 

Lebih awal dalam ucapannya sebelum mempengerusikan mesyuarat itu, Hairil Yahri berkata, Malaysia telah mengenal pasti pemboleh ubah dalam bentuk bidang keutamaan iaitu mengubah naratif perdagangan dan pelaburan, penyertaan ekonomi inklusif melalui teknologi dan ekonomi digital serta pemacuan inovatif dalam kemampanan.

Dengan menjalankan penyampaian substantif di bawah setiap kawasan, Malaysia berharap APEC akan mampu mencapai objektif asasnya bagi meraih pertumbuhan ekonomi serta kemakmuran yang mampan di rantau Asia Pasifik. 

Mesyuarat tiga hari ISOM itu dimulakan dengan Simposium mengenai Keutamaan untuk APEC 2020, diikuti oleh satu siri mesyuarat yang dihadiri oleh 312 delegasi dari ekonomi-ekonomi APEC, kementerian -kementerian utama dan agensi. 

Ekonomi yang menjadi anggota APEC akan bertemu sekali lagi di Mesyuarat Pegawai Kanan Pertama (SOM 1) di Putrajaya pada 22 Feb tahun depan. 

-- BERNAMA

 

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan