Isnin, 25 Mei 2020
APEC 2020
10/12/2019 06:48 PM

LANGKAWI, 10 Dis-- Bertepatan dengan waktu Malaysia bersedia menjadi tuan rumah APEC 2020, dua pembangun aplikasi dalam talian dan laman web tempatan, telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kemakmuran Digital APEC 2020 di sini hari ini.

Faezrah Rizalman dan Jeannette Goon telah dinamakan sebagai pemenang atas pengiktirafan terhadap aplikasi mudah alih dan platform e-dagang ‘Bayu Harvest’ yang direka bagi membantu petani kecil-kecilan wanita, untuk memasarkan produk mereka pada rangkaian bekalan bernilai tinggi.

Faezrah dan Jeannette membangunkan Bayu Harvest untuk Cabaran Aplikasi APEC 2019, satu pertandingan 24 jam dianjurkan APEC, kerajaan Chile, The Asia Foundation dan Google di Viña del Mar, Chile, yang diadakan pada Mei.

Cabaran itu telah mengumpulkan hampir dua dozen pasukan daripada seluruh rantau Asia Pasifik, dalam pertandingan untuk membangunkan aplikasi dalam talian dan laman web bagi membantu usahawan wanita, mengembangkan perniagaan mereka.

Majlis penyampaian anugerah tersebut telah dirasmikan Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) APEC 2020, Hairil Yahri Yaacob, disaksikan Pengerusi SOM APEC Chile 2019 Mathias Francke pada Sesi Khas SOM mengenai Wawasan 2020, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Sekteriat APEC Tan Sri Dr Rebecca Fatimah Sta Maria.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut, Faezrah yang berasal dari Sabah berkata idea membangunkan Bayu Harvest terhasil, selepas beliau sering ditanya petani wanita di negerinya, mengenai cara untuk meningkatkan pendapatan dan memperbaiki taraf kehidupan mereka.

“Di Sabah, petani selalunya menjual produk mereka kepada orang tengah, yang membeli hasil tuaian pada kuantiti yang besar, tetapi pada harga yang paling rendah. Petani selalunya bersetuju dengan apa juga harga yang diberikan orang tengah.

“Jadi Bayu Harvest diwujudkan bagi menyediakan satu platform, di mana petani boleh menguruskan hasil mereka, disamping belajar menjadi usahawan termasuk menetapkan harga tuaian mereka dan bagaimana menjenamakan dan memasarkan produk mereka,” katanya.

Goon pula yang merupakan seorang usahawan digital berpengalaman dari Kuala Lumpur berkata, apabila mereka berpeluang untuk menyertai Cabaran Aplikasi APEC 2019, mereka telah memikirkan beberapa idea, bagaimana teknologi boleh membantu wanita meningkatkan pendapatan mereka.

“Bayu Harvest merupakan sesuatu yang kami hasilkan, selepas melawat Sabah beberapa kali dan bertemu dengan petani berlainan, bagi mendapatkan reaksi mereka mengenai aplikasi tersebut, sementara kami menyediakan latihan kepada mereka untuk menggunakan aplikasi tersebut.

“Bayu Harvest satu aplikasi ‘ringan’, jadi mereka tidak memerlukan sambungan internet yang terbaik, mereka tidak memerlukan ruang yang besar dalam telefon dan ia sesuatu yang boleh digunakan mereka. Kami mula berbincang dengan restoran dan kami juga berbincang dengan pihak lain, seperti perniagaan pembuatan untuk membeli bahan mentah di Sabah,” katanya.

Goon berkata selain itu, mereka juga akan mengadakan pemasaran digital untuk mempromosikan Bayu Harvest kepada petani.

“Sasaran kami ialah untuk membantu seramai petani yang boleh, dan melihat bagaimana kami boleh menghasilkan impak terbaik untuk mereka dalam soal meningkatkan pendapatan dan membantu memperbaiki taraf kehidupan mereka,” katanya.

-- BERNAMA

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan