Isnin, 25 Mei 2020
APEC 2020
09/12/2019 06:54 PM

LANGKAWI, 9 Dis-- APEC 2020 akan memberi tumpuan untuk memperhalusi peranan perdagangan dan pelaburan daripada hanya semata-mata untuk pewujudkan kekayaan kepada pembolehubah ke arah keterangkuman sosial dan ekonomi.

Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) APEC 2020 Hairil Yahri Yaacob berkata selepas 30 tahun pelaksanaan arah tuju Matlamat Bogor bagi pelaburan dan perdagangan terbuka dan bebas di rantau ini, ekonomi rantau ini berkembang daripada US$23.5 trilion pada 1990 kepada US$66.2 trilion pada 2018, purata 3.7 peratus setahun.

Hairil Yahri berkata walaupun banyak menjurus kepada peningkatan pendapatan, taraf hidup yang lebih baik dan ketersambungan, namun impak ke atas ketidaksaksamaan pendapatan dan ekuiti sosial masih diperbincangan.

Ekonomi APEC, katanya mula menyedari bahawa kekayaan yang dihasilkan menerusi perdagangan dan pelaburan di rantau ini mewujudkan jurang yang luas, dan meminggirkan segmen besar masyarakat.

"Oleh itu, kita perlukan perubahan asas terhadap cara kita berfikir mengenai ekonomi. Ia perlu dikaji semula untuk memenuhi keadaan semasa dengan meletakkan orang pada terasnya dan mengejar pertumbuhan mampan dan inklusif, dengan jaminan tidak meminggirkan mana-mana pihak.

"Ini adalah objektif falsafah Perkongsian Kemakmuran yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada Sidang Kemuncak CEO di Papua New Guinea pada  2018. Falsafah ini akan membolehkan pertumbuhan yang mampan bersama dengan pengagihan sama rata dalam ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaannya pada Simposium mengenai Keutamaan pada Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Informal APEC (ISOM), program sulung Malaysia sebagai turmah APEC, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria dan Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) 2020 Datuk Rohana Tan Sri Mahmood.

Hairil Yahri berkata konsep kemakmuran bersama bukan perkara baru kepada ekonomi APEC.

Setiap ekonomi telah menjalankan dasar untuk menyediakan kehidupan yang lebih baik bagi warganya, dan ada perniagaan yang sudah mengambil tanggungjawab yang lebih besar dalam menyumbang kepada penambahbaikan dalam masyarakat. Kami hanya perlu menyatukan usaha ini semasa Malaysia menjadi tuan rumah," katanya.

Dalam APEC 2020, Hairil Yahri berkata kemampanan akan menjadi perbincangan penting, dengan Malaysia memberi tumpuan kepada pengurusan sumber optimum untuk meminimumkan kesan buruk terhadap alam sekitar melalui amalan inovatif untuk kekal relevan dengan persekitaran yang berubah-ubah.

Beliau berkata selain gangguan digital, wujud kebimbangan yang semakin meningkat terhadap  isu-isu berkaitan kelestarian termasuk alam sekitar dan perubahan iklim.

"Seperti yang anda ketahui, selama lebih setahun, kanak-kanak dan golongan muda dari seluruh dunia membincangkan mengenai iklim. Perintisnya ialah Greta Thunberg, gadis berusia 16 tahun dari Sweden yang mengejutkan dunia apabila mengkritik pemimpin mengenai isu sebenar perubahan iklim.

"Kita berada dalam keadaan di mana isu pengurusan sumber yang tidak mampan yang menyebabkan gangguan kepada ekosistem dalam bentuk plastik, penjanaan sisa berlebihan dan sebagainya tidak boleh diabaikan.

"APEC pada masa lalu mengelak daripada membincangkan isu-isu ini secara terbuka dengan menyatakan bahawa ini bukan isu ekonomi. Apa yang kita perlu sedari ialah ada peluang kos langsung yang dikaitkan dengan kemampanan, terutama nilai ekonomi," katanya.

-- BERNAMA  

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan